Isnin, 22 Jun 2020 | 8:56am
Penyerang Atlanta, Duvan Zapata (kanan) dicabar pertahanan Sassuolo, Jeremy Toljan. - Foto AFP
Penyerang Atlanta, Duvan Zapata (kanan) dicabar pertahanan Sassuolo, Jeremy Toljan. - Foto AFP

Atalanta bangkit semangat Bergamo

MILAN: Atalanta meniup semangat baharu buat Bergamo dengan kemenangan 4-1 ke atas Sassuolo manakala Inter Milan mengatasi Sampdoria 2-1.

Bergamo antara kota Itali paling teruk dilanda pandemik COVID-19 dan perlawanan di stadium Gewiss itu adalah bagi mengingati mereka yang terkorban.

Duvan Zapata menjaringkan dua gol dengan Berat Djimsiti turut menemui sasaran, manakala pemain Sassuolo Mehdi Bourabia menebus kesilapan gol sendirinya dengan jaringan di akhir permainan.

Kemenangan itu mengukuhkan kedudukan Atalanta di tangga keempat Serie A dan kelayakan ke Liga Juara-Juara, mengatasi Roma di tangga kelima pada enam mata.

"Ia adalah kemenangan penting, apabila bermain semula selepas tempoh yang panjang pasti ada keraguan, tetapi kami mengetepikannya dan memberikan persembahan hebat," kata pengendali Atalanta Gian Piero Gasperini.

Atalanta kini hanya enam mata di belakang Inter Milan yang menewaskan Sampdoria di San Siro, hasil jaringan Romelu Lukaku dan Lautaro Martinez.

Inter turut merapatkan jurang dengan pendahulu, Juventus kepada enam mata. - AFP

Penyerang Inter Milan, Lautaro Martinez (kiri) melepasi halangan pertahanan Sampdoria, Bartosz Bereszynski pada aksi perlawanan Serie A. - Foto AFP
Penyerang Inter Milan, Lautaro Martinez (kiri) melepasi halangan pertahanan Sampdoria, Bartosz Bereszynski pada aksi perlawanan Serie A. - Foto AFP

Berita Harian X