Khamis, 18 Jun 2020 | 10:51pm

Jendela perpindahan Eropah ditutup serentak 5 Oktober

LAUSANNE: Kesatuan Bolasepak Eropah (UEFA) mahukan jendela perpindahan Eropah ditutup serentak pada 5 Oktober ini sebelum aksi peringkat kumpulan Liga Juara-Juara dan Liga Europa musim hadapan.

Susulan mesyuarat jawatankuasa eksekutif sebelum ini, UEFA menjelaskan setiap pasukan mempunyai masa sehingga 6 Oktober untuk mendaftarkan pemain bagi aksi peringkat kumpulan untuk kedua dua pertandingan.

Semalam, UEFA mengumumkan aksi Liga Juara-Juara musim 2021-21 akan bermula pada 20 Oktober sementara Liga Europa akan berlangsung dua hari kemudian.

Jendela perpindahan musim panas Eropah selalunya ditutup pada permulaan September walaupun tarikhnya berbeza mengikut negara.

Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) membenarkan negara membuka jendela perpindahan empat minggu sebelum musim yang ditangguhkan itu berakhir, namun pemain baharu tidak boleh beraksi sehingga musim hadapan.

Sesetengah negara juga baru kembali memulakan saingan dengan Liga Perdana Inggeris (EPL) dan La Liga hanya akan berakhir pada penghujung Julai manakala Serie A dijangka berakhir awal Ogos.

UEFA turut mengumumkan Liga Juara-Juara musim ini akan diteruskan dengan format 'lapan terbaik' dengan aksi kalah mati di Lisbon bermula 12 hingga 23 Ogos.

Liga Europa juga akan diteruskan dengan format sama dengan perlawanan berlangsung di empat lokasi di Jerman termasuk final di Cologne pada 21 Ogos. - AFP

Berita Harian X