Jumaat, 12 Jun 2020 | 6:14pm
Nik Nazmi (dua dari kanan) dan Khushairi (dua dari kiri) melihat 'mockup' jersi baharu Setiawangsa Rangers.
Nik Nazmi (dua dari kanan) dan Khushairi (dua dari kiri) melihat 'mockup' jersi baharu Setiawangsa Rangers.

Pemain Setiawangsa Rangers diminta sabar

KUALA LUMPUR: Walaupun pemain sudah 'gatal' kaki untuk beraksi, Kelab Bolasepak Setiawangsa Rangers mahu mengkaji prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan kerajaan terlebih dahulu sebelum kembali memulakan latihan.

Penaungnya merangkap Ahli Parlimen Setiawangsa, Nik Nazmi Nik Ahmad mengakui pemain kelab itu masing-masing sudah 'menggigil kaki' untuk menyepak bola tetapi meminta mereka bersabar dulu.

"Saya akui banyak program kelab terpaksa ditangguhkan akibat COVID-19. Sebelum pandemik itu, pasukan Bawah 14 Tahun dan 16 Tahun sedang bersaing dalam Liga AirAsia KL Junior. Pasukan kita juga menyertai saingan Liga Bolasepak Kuala Lumpur.

"Selain itu, kita juga terpaksa menangguhkan program Tunas Mentari Setiawangsa Rangers, futsal wanita dan beberapa kejohanan bola sepak sekitar kawasan Setiawangsa.

"Jadi, kita harap dengan kebenaran yang diberikan kerajaan untuk berlatih, kita harap dapat memulakannya secepat mungkin dengan mematuhi SOP yang ditetapkan kerajaan," katanya.

Beliau sebelum itu bersama presiden kelab, Khushairi Aizad Jamalludin, timbalannya, Ahmad Nadzrin Abdul Halim dan setiausaha, Goh Kah Yong melihat "mockup" jersi baharu kelab itu.

Nik Nazmi berkata, pihaknya sebenarnya merancang melancarkan jersi baharu itu pada pertengahan Mac lalu tetapi ia juga terpaksa ditangguhkan akibat COVID-19.

"Insya-Allah kita akan melancarkan jersi baharu itu dalam masa terdekat," katanya.

Sementara itu, Khushairi Aizad berharap semua pemain terus mengekalkan kecergasan dengan mengadakan latihan individu di rumah sebelum memulakan latihan bersama pasukan.

Katanya, warga Setiawangsa yang ingin mengetahui perkembangan pasukan Setiawangsa Rangers boleh ikuti di laman media rasmi Facebook dan Instagram.

Berita Harian X