Rabu, 10 Jun 2020 | 11:08am

Lisbon jadi pilihan anjur Liga Juara-Juara format baharu

LONDON: Lisbon menjadi pilihan untuk menjadi tuan rumah saingan kalah mati lapan pasukan Liga Juara-Juara pada Ogos ini, sekiranya cadangan mengikut format baharu dipersetujui oleh UEFA.

UEFA merancang memindahkan aksi final kejuaraan itu daripada Istanbul yang dijadualkan pada 30 Mei lalu dengan menggunakan format baharu. Final Liga Europa pula yang dijadualkan berlangsung Gdansk, Poland pada 27 Mei lalu, dijangka dipindahkan ke Jerman.

Kedua-dua kejohanan utama benua Eropah itu dihentikan pada pertengahan Mac lalu akibat penularan pandemik COVID-19. Jawatankuasa Eksekutif UEFA bakal membuat keputusan mengenai cadangan berkenaan pada 17 Jun.

Mesyuarat sudah diadakan sejak beberapa minggu lalu bagi membincangkan pelbagai senario termasuk kemungkinan aksi diadakan secara timbal balik mengikut perancangan asal.

Namun dalam perbincangan mutakhir tertumpu kepada cadangan menggunakan format seperti konsep Piala Dunia Kelab anjuran FIFA yang dijangka mampu menarik minat badan penyiar dan penonton televisyen.

Ini bermakna saingan peringkat suku akhir, separuh akhir dan final akan berlangsung dalam satu lokasi sebagai pertandingan mini dalam gelanggang tertutup. Final Liga Juara-Juara bakal diadakan pada 23 Ogos manakala Liga Euro[a pada 21 Ogos.

Sepanyol, Jerman dan Russia disebut-sebut sebagai calon terbaik menjadi tuan rumah bagi Liga Juara-Juara, namun berdasarkan lokasi dan fakta tiada lagi kelab mereka yang terbabit dalam kejuaraan berkenaan, Portugal dijangka menjadi pilihan.

Lisbon memiliki dua stadium yang lengkap dengan kemudahan bagi penganjuran kejohanan berprestij berkenaan.

- AGENSI

Berita Harian X