Ahad, 7 Jun 2020 | 7:22am
Cristiano Ronaldo.
Cristiano Ronaldo.

8 pewaris Ronaldo

LONDON: Siapakah pemain yang mampu menjadi pewaris atau pengganti bintang bola sepak dunia Cristiano Ronaldo?

Persoalan itu pastinya bermain di fikiran peminat bola sepak dengan pemain Portugal itu sudah memasuki kemuncak kariernya dengan usia 35 tahun ketika ini.

Malah, 'tanda' sebagai pengganti Ronaldo yang diletakkan ke atas pemain muda ketika ini kadang-kadang dianggap boleh menjadi beban susulan standard yang cukup tinggi dicipta pemain Juventus itu.

Berikut adalah lapan pemain yang menjadi perbandingan dengan Ronaldo ketika di awal kariernya.

1. JOAO FELIX

Nama Felix, 20, melonjak bersama Benfica pada 2018-19 dan membantu kelab itu memenangi liga.

Dia juga menjadi pemain termuda yang pernah meledak hatrik dalam Liga Europa pada usia 19 tahun selepas tiga kali menentang Eintracht Frankfurt.

Ia mendorong pengurus Atletico Madrid, Diego Simeone membayar £113 juta (RM609 juta) untuk mendapatkan khidmatnya pada musim panas lalu.

Memiliki tanda 'pengganti Ronaldo' menjadikan penyerang itu sebagai sasaran pemain lain di Sepanyol, dan dia diketepikan selama sebulan selepas cedera pergelangan kaki yang dialami ketika menentang Valencia, Oktober lalu.

Namun, itu bukan penamat buat Felix di Atletico, jika dia tetap cergas dan dia hanya perlu mengatasi masalah masa sebelum memenuhi potensinya.

2. FEDERICO MACHEDA

Menjadi rakan sepasukan Ronaldo pada 2009, menyebabkan dia tidak dapat mengelak daripada dibandingkan dengan bintang Portugal itu.

Keadaan itu dilihat menjadi punca penyerang Itali itu mengakui dirinya mengalami histeria ketika beraksi di Liga Perdana Inggeris bersama Manchester United.

Kini Macheda yang berusia 28 tahun sudah menemui semula sentuhan jaringan bersama Panathinaikos di Greece selepas menyertai beberapa kelab termasuk QPR, Doncaster dan Novara.

3. VINICIUS JUNIOR

'Budak ajaib' dari Brazil ini belum mencapai tahap yang diharapkan di Real Madrid, sejak berpindah pada 2018.

Los Blancos membayar £39 juta (RM210 juta) kepada Flamengo untuk Vinicius Junior ketika dia berusia 16 tahun, sebelum secara rasmi menyertai kelab itu pada usia 18 tahun - usia minimum untuk perpindahan antarabangsa.

Setahun lalu, dia mempamerkan persembahan cemerlang bersama pasukan utama - meledak gol ketika menewaskan Barcelona 2-0 pada Mac.

Seakan sama dengan Ronaldo pada awal kerjayanya, pemain ini memiliki kepantasan dan pakar dalam menggelecek.

4. ANTHONY MARTIAL

Penyerang Perancis, Martial, 24, meletakkan dirinya sebagai orang yang paling dipercayai di Old Trafford dengan mengetuai barisan pilihan Ole Gunnar Solskjaer.

Malah, musim ini dia menunjukkan boleh menjadi lebih produktif - meledak 16 gol dalam semua pertandingan.

Dia mencipta nama bersama Monaco, sebelum menandatangani kontrak dengan United bernilai 58 juta pound (RM312 juta) pada 2015.

Jumlah itu bagaimanapun digambarkan oleh bekas pengurus Louis van Gaal sebagai bayaran yang "tidak masuk akal".

5. FRANCISCO TRINCAO

Trincao dijangka menyertai Barcelona dan bergandingan dengan Lionel Messi pada Julai, selepas persetujuan perjanjian £28 juta (RM150 juta) dicapai pada Januari.

Memiliki ketinggian enam kaki, pemain antarabangsa Portugal bawah 20 (B-20) tahun itu berkongsi fizikal yang sama dengan Ronaldo dan mempunyai kemampuan terbaik dalam bola sepak.

Mampu bermain pelbagai posisi di bahagian serangan, dia juga memiliki kaki kiri yang istimewa dengan rembatan tepat dan kemahiran menggelecek.

Ketika kejuraan Eropah B-19 2018, dia memenangi anugerah kasut emas dengan Portugal menewaskan Itali 4-3 di pentas final selepas tambahan masa.

6. WILFRIED ZAHA

Seakan tidak adil memanggil Zaha sebagai pemain yang gagal, memandangkan kedudukannya di Liga Perdana Inggeris ketika ini bersama Crystal Palace.

Namun, persembahannya di Manchester United dari 2013-15 adalah satu musibah.

Pemain terakhir yang ditandatangani Sir Alex Ferguson sebelum bersara, Zaha, 27, tidak pernah menjadi pemain yang benar-benar digemari David Moyes dan dihantar ke Cardiff City secara pinjaman sebelum dia kembali ke Selhurst Park.

Terdapat laporan Newcastle United merancang menjadikan Zaha sebagai pemain pertama mereka yang menelan belanja besar selepas proses mengambilalih kelab itu selesai.

7. KYLIAN MBAPPE

Bukan lagi dianggap sebagai 'pengganti Ronaldo', Mbappe adalah bintang yang mempunyai gaya tersendiri.

Pemain utama PSG berusia 21 tahun itu sudah menjaringkan 30 gol dalam 33 perlawanan musim ini, dan membantu Perancis memenangi Piala Dunia dilihat sebagai pewaris Ronaldo dan Messi untuk merangkul anugerah Ballon d'Or.

Namun, bekas penyerang Arsenal, Nicolas Anelka menganggap Mbappe mengingatkan dia kepada legenda Brazil, Ronaldo ketika Olimpik 1996.

"Dia mempunyai ciri-ciri pemain berkelas dunia dan dia harus menguruskannya dengan baik. Jika dia mengikuti karier Ronaldo, dia akan menjadi salah satu legenda yang melakar sejarah dalam sukan ini."

8. KAIO JORGE

Chelsea, Juventus, dan Bayer Leverkusen antara kelab yang berpotensi buat bintang remaja sensasi Brazil, Jorge.

Pemain berusia 18 tahun ini dilaporkan adalah pemain terbaik yang pernah mereka lihat di Santos selepas Neymar - mempunyai kepantasan kaki yang hebat dan teknik luar biasa.

Pada Piala Dunia B-17 tahun lalu, dia menunjukkan memiliki kepakaran mencetak gol - menjaringkan lima gol untuk memenangi 'Kasut Gangsa'.

Namun, masih terlalu awal untuk mengatakan adakah dia benar-benar akan berkembang menjadi pengganti Ronaldo di masa depan. - AGENSI

Berita Harian X