Sabtu, 6 Jun 2020 | 9:36pm
Yaya Toure. - Foto AFP
Yaya Toure. - Foto AFP

Berbaloi ke RM1 juta sebulan?

KUALA LUMPUR: Pasukan Liga Malaysia (Liga M) yang memasang hajat mendapatkan khidmat Yaya Toure memerlukan anggaran RM9.64 juta hingga RM12 juta setahun atau dalam lingkungan RM1 juta sebulan.

Itu anggaran kasar yang perlu dikeluarkan sekiranya mereka berminat mendapatkan khidmat pemain 'marquee' yang juga bekas pemain tengah Barcelona dan Manchester City berkenaan.

Bagaimanapun, ejen berpengalaman, Effendi Jagan Abdullah mengakui sukar untuk menyaksikan kelibat pemain Ivory Coast itu beraksi di negara ini memandangkan gajinya yang terlalu tinggi selain ia tampak tidak berbaloi kerana usianya.

"Melihat kepada anggaran gajinya, saya berpendapat tiada pasukan yang sanggup membayar gaji sehingga RM1 juta untuk seorang pemain. Situasi COVID-19 juga memaksa pasukan berbelanja dengan lebih strategik.

"Lagipun, usianya pun sudah menghampiri 40 tahun dan boleh dianggap sudah berada di penghujung kariernya. Lebih baik melabur kepada pemain yang lebih muda.

"Tetapi dari segi pemasaran atau nama, mungkin ya kerana kita tahu dia memang ada pengaruh dan bertaraf antarabangsa. Namun, kalau berdasarkan aspek kewangan, saya rasa pasukan Liga M belum cukup mampu lagi," katanya.

Terdahulu, pasukan Liga M berpeluang melakukan perpindahan berprofil tinggi selepas Toure dikatakan bersedia jika khidmatnya diperlukan untuk beraksi di negara ini.

Perkembangan itu disahkan oleh agensinya, Harcus Consultancy Group yang menjelaskan bekas pemain tengah itu terbuka untuk peluang beraksi di liga Asia Tenggara termasuk Malaysia selepas mencipta nama di Eropah dan Asia bersama pasukan Qingdao Huanghai sebelum ini.

Media antarabangsa, Goal.com melaporkan Ketua Pegawai Eksekutif Harcus, Richard Harcus menjelaskan meskipun kontrak pemain itu di China sudah berakhir namun pihaknya akan membantu mendapatkan pasukan supaya penyokong di Asia dapat terus menyaksikan kelibatnya.

Berita Harian X