Sabtu, 6 Jun 2020 | 4:06pm

Harimau Malaya sudah boleh bersiap

KUALA LUMPUR: Skuad kebangsaan sudah boleh mempersiapkan diri selepas Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) mengumumkan tarikh baharu bagi perlawanan Kelayakan Piala Dunia 2022/ Piala Asia 2023.

Menerusi satu kenyataan di laman rasmi AFC, badan induk bola sepak itu mengesahkan baki aksi kelayakan itu akan diteruskan pada Oktober dan November selepas perlawanan yang sepatutnya berlangsung pada Mac dan Jun itu ditangguhkan susulan pandemik COVID-19.

"Menerusi perbincangan bersama Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA), AFC mengumumkan perlawanan ketujuh dan perlawanan kelapan akan berlangsung pada 8 dan 13 Oktober sementara perlawanan kesembilan dan perlawanan ke-10 dilangsungkan pada 12 dan 17 November.

"Keputusan terbaru ini dibuat untuk melengkapkan pusingan kedua kelayakan sebelum November dan meneruskan Pusingan Akhir Kelayakan Piala Dunia 2022 serta aksi 'play-off' Pusingan Ketiga Piala Asia 2023 pada Mac 2021 seperti dalam kalendar antarabangsa FIFA.

"AFC akan terus memantau situasi terkini bagi memastikan keselamatan dan kebajikan pasukan, pegawai, penyokong dan pemegang taruh. AFC akan memaklumkan sekiranya ada keperluan untuk mengkaji semula tarikh itu berdasarkan impak semasa pandemik COVID-19," kata AFC.

Berdasarkan tarikh terbabit, tiada perubahan daripada cadangan tarikh yang diberikan AFC sebelum ini sekali gus menyaksikan Malaysia akan menentang Emiriah Arab Bersatu (UAE) di Dubai pada 8 Oktober sebelum bertemu Vietnam di laman sendiri lima hari selepas itu.

Manakala aksi terakhir pasukan negara dalam Kumpulan G adalah pada 17 November di Bangkok untuk berdepan Thailand.

Selepas lima perlawanan, anak buah Tan Cheng Hoe kini menghuni tangga kedua dengan sembilan mata, ketinggalan dua mata di belakang pendahulu, Vietnam yang menghimpun 11 mata dan diikuti rapat Thailand di tangga ketiga dengan lapan mata.

Berita Harian X