Jumaat, 5 Jun 2020 | 9:57pm

Chelsea dinobat juara, Liverpool tersingkir

LONDON: Chelsea dinobat selaku juara Liga Super Wanita (WSL) selepas Persatuan Bolasepak England (FA) menggunakan formula mata bagi satu perlawanan untuk menentukan kedudukan akhir bagi saingan berkenaan.

Skuad The Blues ketinggalan di belakang pasukan Manchester City selaku pendahulu ketika saingan itu dihentikan kerana coronavirus pada Mac, namun mereka memiliki satu perlawanan dalam tangan.

Liverpool pula tersingkir ke Liga Kejuaraan sementara Aston Villa dinaikkan ke saingan utama tatkala Chelsea dan City akan mewakili England ke saingan Liga Juara-Juara Wanita 2020/21.

"Bola sepak bukanlah keutamaan ketika ini tetapi ia masih mempunyai kapasiti untuk memberi kegembiraan kepada penyokong dan komuniti," kata Pengurus Chelsea, Emma Hayes.

"Memenangi kejuaraan liga adalah perkara yang membanggakan pemain dan barisan kejurulatihan. Itulah yang akan saya katakan kepada mereka nanti.

"Mereka berjuang sehabisnya dan kami akan meraikan penamat musim yang penuh kompetitif ini sebagai juara."

Liverpool pula jelas kecewa apabila WSL tidak mengikuti jejak langkah dua saingan teratas lelaki yang meneruskan kempen musim ini

"Liverpool kecewa dengan cara liga musim ini ditamatkan yang menyaksikan The Reds tersingkir ke Liga Kejuaraan," kata pasukan itu dalam satu kenyataan.

"Fokus kami adalah untuk bersedia kembali bersaing apabila keadaan menjadi selamat dan kami percaya dapat memenuhi langkah yang diperlukan tetapi menyambung semula aksi dianggap tidak praktikal."

- AFP

Berita Harian X