Sabtu, 25 April 2020 | 7:44am

COVID-19: Liga Belanda ditamatkan

THE HAGUE: Persekutuan Bola Sepak Belanda (KNVB), awal pagi tadi menamatkan aksi musim 2019/2020 dengan saingan Eridivise menjadi liga Eropah pertama yang dibatalkan susulan pandemik COVID-19.

Tiada pasukan yang akan dinobatkan sebagai juara selepas Ajax dan AZ Alkmaar berkongsi mata di dua tangga teratas liga berbaki sembilan perlawanan.

"Malangnya, berdasarkan arahan daripada kerajaan yang tidak membenarkan perhimpunan berskala besar diadakan, ia adalah mustahil untuk menamatkan saingan musim 2019/2020," kata kenyataan dikeluarkan KNVB.

"Kesihatan orang awam sentiasa menjadi keutamaan. Ia bukan hanya masalah membabitkan bola sepak susulan penularan COVID-19.

"Begitupun, komuniti profesional bola sepak sedar keputusan yang dibuat hari ini akan menghadirkan kekecewaan kepada segelintir pihak."

Pendahulu, Ajax yang berada di depan AZ Alkmaar menerusi perbezaan gol akan layak ke saingan Liga Juara-Juara musim depan namun tertakluk kepada ketetapan yang akan dibuat Kesatuan Bola Sepak Eropah (UEFA) pada 25 Mei depan.

Kemungkinan besar, AZ Alkmaar akan beraksi dalam pusingan kelayakan Liga Juara-Juara manakala Feyenoord, PSV Eindhoven dan Willem II dijangka beraksi dalam saingan Liga Europa berdasarkan kedudukan semasa liga.

Ini adalah kali pertama saingan liga Belanda ditamatkan sejak 1945 tanpa mana-mana pasukan ditabalkan sebagai juara.

"Sebagai pemain dan kelab, kamu pastinya mahu bergelar juara," kata Ketua Pegawai Eksekutif Ajax, Edwin van der Sar.

"Kamu mahu tunjukkannya di atas padang dan kami berada di tangga teratas sepanjang tahun.

"Ia agak malang apabila kamu tidak dinobatkan sebagai juara tetapi dalam situasi sekarang, ia sesuatu yang boleh difahami, ada perkara yang lebih penting berbanding bola sepak." – AFP

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X