Sabtu, 4 April 2020 | 2:00pm
Ketua Pegawai Eksekutif MFL Datuk Ab Ghani Hassan akui keputusan potong gaji bagi langkah penjimatan.
Ketua Pegawai Eksekutif MFL Datuk Ab Ghani Hassan akui keputusan potong gaji bagi langkah penjimatan.

MFL ikut langkah FAM

KUALA LUMPUR: Selepas Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), penularan COVID-19 ‘menjangkiti’ Liga Bolasepak Malaysia (MFL) apabila badan pengendali liga itu turut mengenakan pemotongan gaji kepada kakitangannya.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Ab Ghani Hassan dalam satu kenyataan berkata, pemotongan gaji sebanyak 10 dan 20 peratus itu hanya bersifat sementara dan akan dilakukan jika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang berakhir 14 April ini dilanjutkan.

Ghani berkata, keputusan terbabit terpaksa diambil sebagai langkah penjimatan selepas pihak pengurusan mengambil kira setiap aspek dengan teliti terutama kesan ekonomi yang melanda dunia akibat pandemik terbabit.

“Langkah pengurangan gaji semua kakitangan MFL akan dilaksanakan bermula April ini sehingga PKP ditarik balik dan menerusi perbincangan bersama, kakitangan sepakat untuk menerima keputusan itu bagi memastikan MFL terus bergerak ke depan.

“MFL percaya langkah berkenaan adalah yang terbaik dalam usaha untuk terus menjaga kebajikan kakitangan walaupun ia sesuatu yang berat untuk dilaksanakan oleh pihak pengurusan.

“Biarpun langkah ini diambil, ia tidak memberi kesan kepada operasi MFL yang sentiasa bersedia untuk menyambung semula Liga Malaysia (Liga M) berdasarkan keadaan semasa wabak COVID-19 jika perintah PKP ditarik balik oleh kerajaan,” katanya.

Sebagai rekod, penularan COVID-19 menyaksikan MFL terpaksa menangguhkan semua saingan bagi musim ini termasuklah Liga Super, Liga Perdana, Piala FA, Piala Malaysia dan Piala Cabaran.

Selain itu, penangguhan turut membabitkan saingan liga amatur iaitu Liga M3 dan Liga M4 di bawah kelolaan Liga Amatur Malaysia (AFL) demi keselamatan dan kesihatan semua pihak.

Berita Harian X