Rabu, 1 April 2020 | 12:58pm
Cristiano Ronaldo. - Foto AFP
Cristiano Ronaldo. - Foto AFP

Ronaldo bakal ikut jejak Woods, Mayweather

TURIN, Itali: Cristiano Ronaldo masih di landasan tepat untuk menjadi atlet ketiga yang masih aktif memperoleh pendapatan AS$1 bilion (RM4.32 bilion), walaupun gajinya dipotong susulan krisis COVID-19.

Bintang Juventus berusia 35 tahun itu, dipotong 3.5 juta pound (RM18.74 juta) daripada gajinya minggu ini selepas pandemik berkenaan turut menjejaskan kewangan kelab-kelab.

Namun hasil gaji dan kontrak periklanan yang lumayan, Ronaldo dijangka akan menyertai pemain golf Tiger Woods dan petinju Floyd Mayweather dalam mencapai angka berkenaan bagi musim 2019-20.

Bintang Portugal itu bukan hanya salah seorang daripada atlet yang meraih pendapatan tertinggi di dunia, dia juga menjadi individu paling laku dalam pemasaran sukan.

Ronaldo meraih 88 juta pound (RM471.16 juta) tahun lalu hasil gaji Juventus dan perjanjian penajaan, termasuk kontrak dengan Nike dan jenamanya pakaian dalamnya sendiri CR7.

Jumlah itu adalah kedua tertinggi di belakang seterunya Lionel Messi yang meraih 103 juta pound (RM551.51 juta).

Dalam sukan bola sepak, Ronaldo bakal menjadi pemain pertama mencecah pendapatan AS$1 bilion - selepas golf dan tinju menyaksikan atletnya mencapai angka berkenaan. - AGENSI

Berita Harian X