Isnin, 30 March 2020 | 2:31pm
Skuad JDT setuju potong 33 peratus gaji.
Skuad JDT setuju potong 33 peratus gaji.

Pengorbanan pemain JDT perlu dicontohi

KUALA LUMPUR: Johor Darul Ta’zim (JDT) perlu dijadikan contoh selepas mereka berjaya mencari jalan penyelesaian terbaik untuk menghadapi krisis COVID-19 menerusi perbincangan terbuka.

Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Stuart Ramalingam berkata, pemotongan gaji 33 peratus dan sumbangan kepada Tabung Bencana Negeri Johor yang dilakukan JDT membuktikan pengurusan terbaik sesebuah kelab dalam menangani masalah yang kini sudah dianggap sebagai isu global.

“Sudah tentu kredit perlu diberikan Tunku Ismail Sultan Ibrahim di atas usaha positif ini dan cara baginda menguruskan kelab secara keseluruhannya.

“Sikap tolak ansur pemain dan pegawai pasukan JDT itu wajar dipuji kerana mereka memahami situasi dan keperluan semasa untuk melakukan pengorbanan demi meringankan beban kelab selepas saingan Liga Malaysia (Liga M) ditangguh selain membantu mereka yang terjejas dan memerlukan akibat wabak ini.

“FAM berharap pasukan lain serta pemain mereka dapat mengadakan perbincangan terbuka dan mencapai satu keputusan bersama seperti dilakukan JDT untuk kita bersama menjaga kepentingan industri bola sepak di negara ini,” kata Stuart menerusi satu kenyataan hari ini.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Liga Bolasepak Malaysia (MFL), Datuk Ab Ghani Hassan menyifatkan langkah murni yang diambil JDT itu sebagai semangat ‘Fair Play’ yang menunjukkan keprihatinan yang cukup tinggi.

“MFL amat mengalu-alukan pendekatan ini dan ia juga selari dengan seruan Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) yang mahu pemegang taruh bola sepak Malaysia supaya mencari jalan untuk menangani masalah kewangan kelab disebabkan wabak COVID-19.

“MFL berharap supaya semangat ini akan dapat diterjemahkan juga oleh pasukan dan pemain lain dalam Liga M demi kebaikan semua,” katanya.

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X