Ahad, 29 March 2020 | 7:24pm
Ronaldo dilaporkan beli Bugatti Centodieci berharga RM46 juta.
Ronaldo dilaporkan beli Bugatti Centodieci berharga RM46 juta.

Ronaldo beli kereta RM46 juta ketika kuarantin

BERLIN: Cristiano Ronaldo menghabiskan masa ketika tempoh kuarantin dengan membeli kereta edisi terhad Bugatti yang hanya dikeluarkan 10 unit di seluruh dunia berharga 8.5 juta pound (RM46 juta).

Bintang Juventus itu ketika ini menjalani kuarantin di kampung halamannya di Madeira memandangkan saingan bola sepak sedang ditangguhkan susulan penularan COVID-19.

Ronaldo mungkin membeli-belah sebagai terapi untuk membantu dia mengharungi situasi ketika ini dan akhbar Jerman, Bild melaporkan dia sudah menempah kereta mewah, Bugatti Centodieci.

Pembelian itu bakal menyaksikan Ronaldo menambah lagi koleksi kereta mewahnya selepas memiliki kereta seperti Bugatti Chiron dan Bugatti Veyron Grand Sport Vitesse.

Pengeluar kereta dari Perancis itu terkenal dengan penghasilan jentera mewah berprestasi tinggi dan model terbaharu mereka, Centodieci direka sebagai penghargaan kepada Bugatti EB110.

Kereta super itu dilengkapi enjin W16 dengan empat pengecas turbo 8 liter dan boleh memecut daripada 0 ke 62 batu sejam dalam tempoh 2.4 saat serta kelajuan maksimum 236 batu sejam (mph). - Agensi

Berita Harian X