Khamis, 26 March 2020 | 5:51pm
Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Datuk Ab Ghani Hassan harap semua pihak memahami keadaan sukar ketika ini. Gambar - Owee Ah Chun
Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Datuk Ab Ghani Hassan harap semua pihak memahami keadaan sukar ketika ini. Gambar - Owee Ah Chun

Pasukan, pemain boleh bincang potong gaji

KUALA LUMPUR: Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan Liga Bolasepak Malaysia (MFL) bersetuju supaya pasukan mengadakan perbincangan terbuka bersama pemain mengenai gaji, kontrak dan kebajikan mereka sepanjang penangguhan Liga Malaysia (Liga M).

Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Datuk Ab Ghani Hassan berkata, perbincangan antara kelab dan pemain itu bukan bermaksud semua pemain diminta untuk terus bersetuju dengan pemotongan gaji mereka.

"Sebab itulah FAM dan MFL meminta kelab dan pemain serta pegawai pasukan mengadakan perbincangan supaya mereka mencapai satu keputusan yang adil untuk semua pihak terbabit.

"Apa yang berlaku ketika ini bukan salah MFL selaku penganjur liga atau salah kelab yang turut kehilangan sumber pendapatan sepanjang tempoh penangguhan ini.

"Ia satu situasi berbeza yang belum pernah kita alami sebelum ini. Jadi, saya rasa semua pihak termasuk pemain dan pegawai akan memahaminya," kata Ab Ghani.

Sebelum ini, BH Sukan melaporkan Pensyarah Kanan Fakulti Sains Sukan dan Rekreasi UiTM Shah Alam, Mohd Sadek Mustafa mencadangkan pasukan mengadakan perbincangan bersama pemain untuk membuat pemotongan gaji sekurang-kurangnya 25 peratus sekiranya penangguhan liga akibat COVID-19 terus berpanjangan.

Arahan kerajaan berhubung Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilanjutkan sehingga 14 April depan menyebabkan saingan Liga M yang ditangguh mulai 16 Mac lalu bakal dilanjutkan untuk satu tempoh yang lebih lama.

Sementara itu, Setiausaha Agung FAM, Stuart Ramalingam berharap kelab, pemain dan pegawai pasukan dapat menggunakan budi bicara dan bertolak ansur demi mencapai satu keputusan menang-menang untuk kebaikan semua pihak.

"Memang semua pihak yang terbabit mempunyai kepentingan masing-masing untuk dijaga. Namun, dalam situasi ini, semua pihak perlu berkorban bagi mencapai satu penyelesaian yang terbaik dan sewajarnya untuk kepentingan industri bola sepak kita ini.

"Pada masa sama, FAM dan MFL juga sentiasa terbuka berbincang atau memberikan pandangan dan nasihat kepada mana-mana pihak sama ada kelab, pemain atau pegawai. Jika ada masalah atau pertanyaan, boleh terus hubungi kami," kata Stuart.

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Kabinet Malaysia 2020

    Berita Harian X