Rabu, 11 March 2020 | 11:15pm
Penyerang Kedah, Kpah Sherman (tengah) diasak pemain UiTM FC, Victor Clotaire Michel Nirennold (kiri) pada saingan Liga Super di Stadium UiTM, hari ini. - Foto BERNAMA
Penyerang Kedah, Kpah Sherman (tengah) diasak pemain UiTM FC, Victor Clotaire Michel Nirennold (kiri) pada saingan Liga Super di Stadium UiTM, hari ini. - Foto BERNAMA

Kedah seri di laman UiTM

SHAH ALAM: Kedah terus kempunan untuk meraih kemenangan pertama musim ini apabila diikat ‘budak baharu’, UiTM FC 1-1 pada aksi di Stadium UiTM Shah Alam, sebentar tadi.

Namun, satu mata yang diraih setidak tidaknya mungkin dapat melegakan sedikit tekanan buat skuad bimbingan Aidil Sharin Sahak itu selepas mereka tewas dalam dua aksi terdahulu sementara UiTM FC mencipta sejarah tersendiri meraih mata pertama mereka dalam kancah Liga Super.

Pada aksi terbabit, Kedah terpaksa menunggu sehingga minit ke-30 bagi memecah kebuntuan apabila sepakan melencong Kpah Sherman daripada luar kotak penalti gagal diselamatkan penjaga gol UiTM FC, Muhd Norhaziq Mohd Aris untuk gol pertama perlawanan.

Bersambung babak kedua, Kedah beroleh peluang keemasan untuk melebarkan jurang apabila pengadil perlawanan, Ku Alauddin Ku Muhammad menghadiahkan sepakan penalti kepada pelawat pada minit ke-59 selepas bola terkena tangan pemain UiTM FC, Ousmane Fane.

Norhaziq memastikan UiTM FC terus berada dalam perlawanan apabila bijak melayangkan badan untuk menepis sepakan penalti yang diambil Sherman sebelum dia sekali lagi menyelamatkan percubaan Tchetche Kipre empat minit berselang.

Usaha UiTM FC yang menggandakan asakan akhirnya berbalas apabila hantaran jauh Shafiq AlHafiz disudahkan oleh Gustavo Almeida pada minit ke-81 sekali gus mengubah kedudukan kepada 1-1.

Selepas ini, Kedah akan melayan kunjungan Selangor di Stadium Darul Aman sementara UiTM FC akan menentang PDRM di laman sendiri.

Berita Harian X