Isnin, 9 March 2020 | 9:44pm

FIFA tunda aksi kelayakan Piala Dunia

KUALA LUMPUR: Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) setuju menangguhkan semua aksi kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 bagi bulan ini dan Jun depan.

Perkara itu disahkan Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Stuart Ramalingam selepas menerima surat rasmi daripada Konfederasi Bolasepak Asia (AFC), hari ini.

Beliau berkata, AFC menjelaskan keputusan itu dibuat selepas perbincangan dengan ahli gabungan sebelum mendapat persetujuan FIFA.

"Tarikh baharu perlawanan tidak dinyatakan dengan FIFA dan AFC akan mengadakan perbincangan lanjut berhubung status perlawanan yang ditangguhkan itu sebelum memaklumkan kepada ahli gabungan.

"Bagi skuad kebangsaan, Harimau Malaya kendalian Tan Cheng Hoe, penangguhan itu akan membabitkan tiga perlawanan Kumpulan G bertemu UAE yang sepatutnya berlangsung di Dubai pada 26 Mac ini serta aksi bertemu Vietnam di Bukit Jalil (31 Mac) dan bertemu Thailand di Bangkok (9 Jun).

"Justeru, FAM masih berusaha mendapatkan pengesahan pasukan bagi mengadakan perlawanan antarabangsa pada jendela perlawanan antarabangsa FIFA bulan ini dan AFC menetapkan bahawa sebarang permohonan perlu dihantar selewat-lewatnya Jumaat ini.

"Bagaimanapun, isu COVID-19 yang sedang dialami di seluruh dunia ketika ini agak merumitkan kita mengadakan perlawanan antarabangsa kerana ia membabitkan perjalanan dari satu negara ke negara yang lain," katanya.

Sementara itu, Setiausaha Agung AFC, Datuk Windsor Paul John yang turut mengesahkan penangguhan itu menjelaskan tarikh baharu bagi perlawanan terbabit akan diputuskan dalam masa terdekat.

Berita Harian X