Ahad, 8 March 2020 | 3:32pm
Cheng Hoe menjelaskan pihaknya sedang merancang untuk mengadakan aksi persahabatan berikutan penundaan jadual aksi kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023. - Foto NSTP
Cheng Hoe menjelaskan pihaknya sedang merancang untuk mengadakan aksi persahabatan berikutan penundaan jadual aksi kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023. - Foto NSTP

Harimau Malaya cari lawan persahabatan

KUALA LUMPUR: Ketua jurulatih skuad kebangsaan, Tan Cheng Hoe menjelaskan pihaknya sedang merancang untuk mengadakan aksi persahabatan berikutan penundaan jadual aksi kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023.

Cheng Hoe berkata, aksi persahabatan cukup penting dalam memastikan skuad Harimau Malaya tidak hilang ‘sentuhan’ sekiranya berehat panjang.

Namun, beliau mengakui berdepan sedikit kekangan untuk mendapatkan pasukan lawan bagi aksi persahabatan susulan kebimbangan penularan COVID-19.

“Kita kena ikut arahan diberikan pihak kerajaan Malaysia. Malah, ada beberapa negara sudah menyekat kemasukan pelancong ke negara mereka.

“Jadi, ia mungkin menyukarkan kita mendapat pasukan lawan ketika ini. Tapi pihak pengurusan sedang berbincang dan membuat penilaian secara menyeluruh sebelum membuat keputusan,” katanya kepada BH Sukan.

Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) sebelum ini dilaporkan akan mengemukakan cadangan menunda aksi kelayakan bagi bulan ini dan Jun kepada Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) susulan penularan COVID-19.

Namun, sehingga kini tiada pengumuman rasmi mengenai keputusan itu sama ada daripada AFC atau FIFA.

Setiausaha Agung AFC, Datuk Windsor Paul John ketika dihubungi, semalam memaklumkan keputusan mungkin akan diperoleh esok.

Berdasarkan jadual asal, Harimau Malaya akan berdepan Emiriah Arab Bersatu (UAE), 26 Mac ini, Vietnam (31 Mac) dan Thailand (9 Jun).

Berita Harian X