Rabu, 4 March 2020 | 12:15pm
SETIAUSAHA Agung Konfederasi Bolasepak Asia (AFC), Datuk Windsor Paul John.
SETIAUSAHA Agung Konfederasi Bolasepak Asia (AFC), Datuk Windsor Paul John.

Aksi Harimau Malaya lawan UAE masih samar

KUALA LUMPUR: Aksi kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023, bulan ini dan Jun kemungkinan terpaksa ditunda susulan kebimbangan mengenai penularan COVID-19.

Penundaan itu turut dijangka membabitkan aksi Harimau Malaya berdepan Emiriah Arab Bersatu (UAE) pada 26 Mac, Vietnam (31 Mac) dan Thailand (9 Jun).

Setiausaha Agung Konfederasi Bolasepak Asia (AFC), Datuk Windsor Paul John berkata, pihaknya akan mengadakan perbincangan lanjut bersama Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) berkaitan perkara terbabit.

“Ada kemungkinan terdapat beberapa perlawanan pusingan kedua kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 bulan ini mungkin ditunda atau ada kaedah lain.

“Setakat ini, AFC sudah berhubung dengan FIFA berkaitan perkara itu dan keputusan akan diketahui dalam masa terdekat.

“AFC perlu merujuk kepada FIFA sebelum membuat sebarang keputusan. Jika mahu mengadakan perlawanan di gelanggang lain pun perlu ada persetujuan daripada beberapa pihak,” katanya.

Sebelum ini, AFC sudah mengambil keputusan menunda beberapa perlawanan membabitkan aksi Liga Juara-Juara Asia (ACL) yang turut membabitkan wakil Malaysia, Johor Darul Ta’zim (JDT), juga susulan kebimbangan mengenai COVID-19.

Sementara itu, Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Stuart Ramalingam menjelaskan pihaknya sedia menerima apa saja keputusan yang akan dibuat AFC dan FIFA.

“Bagi pihak FAM kami sudah bersedia dengan sebarang kemungkinan keputusan daripada AFC kerana keselamatan semua pihak terutama pemain dan pegawai pasukan adalah keutamaan,” katanya.

Harimau Malaya kini menghuni tangga kedua Kumpulan G dengan mengumpul sembilan mata hasil daripada tiga kemenangan dalam lima perlawanan sebelum ini.

Berita Harian X