Rabu, 12 Februari 2020 | 8:07pm
KAPTEN pasukan Vissel Kobe, Andrea Iniesta (kiri) melepasi asakan pemain JDT, Corbin Ong di Stadium Park Misaki. Foto FB Johor Southern Tigers
KAPTEN pasukan Vissel Kobe, Andrea Iniesta (kiri) melepasi asakan pemain JDT, Corbin Ong di Stadium Park Misaki. Foto FB Johor Southern Tigers

JDT mula langkah kiri

KUALA LUMPUR: Johor Darul Ta’zim (JDT) membuka kempen Liga Juara-Juara Asia (ACL) musim ini dengan langkah kiri selepas tewas 1-5 kepada Vissel Kobe di Stadium Park Misaki, sebentar tadi.

Vissel Kobe yang dibarisi beberapa pemain berkelas dunia seperti Andres Iniesta dan Thomas Vermaelen mendominasi permainan dan berjaya membuka jaringan menerusi Keijiro Ogawa pada minit ke-13.

JDT bagaimanapun berjaya menyamakan kedudukan menerusi sepakan penalti Safawi Rasid pada minit ke-27 selepas bola terkena tangan Vermaelen.

PEMAIN JDT, Safawi Rasid (Kanan) diasak pertahanan Vissel Kobe, Thomas Vermaelen. Foto FB Johor Southern Tigers
PEMAIN JDT, Safawi Rasid (Kanan) diasak pertahanan Vissel Kobe, Thomas Vermaelen. Foto FB Johor Southern Tigers

Namun, kedudukan itu hanya bertahan seminit apabila rembatan deras Kyogo Furuhashi dari luar kotak penalti berjaya memerangkap penjaga gol JDT, Farizal Marlias buat kali kedua.

Tidak cukup dengan itu, skuad kendalian Thorsten Fink terus menghukum pertahanan JDT apabila meledak dua lagi gol hasil jaringan Ogawa pada minit ke-58 dan Douglas (m-65).

Iniesta dilihat menjadi penggerak utama Vissel Kobe apabila umpanannya pada minit ke-72 membolehkan Ogawa melengkapkan jaringan hatrik pada perlawanan pertama Kumpulan G itu.

Aksi seterusnya JDT akan berdepan kelab Korea Selatan, Suwon Samsung Bluewings di Johor Bahru, 3 Mac depan.

Berita Harian X