Isnin, 10 Februari 2020 | 1:19pm
PEMAIN JDT, Safawi Rasid. Foto FB JOHOR Southern Tigers.
PEMAIN JDT, Safawi Rasid. Foto FB JOHOR Southern Tigers.

Persiapan taktikal JDT lebih rapi - Safawi

JOHOR BAHRU: Johor Darul Ta'zim (JDT) tampak bersedia memulakan kempen Liga Juara-Juara Asia (ACL) dengan aksi pertama menentang kelab ternama dari, Jepun Vissel Kobe pada saingan Kumpulan G di Stadium Misaki, petang esok.

Malah pemain sedang meningkat naik dalam kancah bola sepak negara, Safawi Rasid mengakui persiapan pada saingan musim ini tampak lebih tersusun dengan tumpuan terarah kepada membentuk corak permainan taktikal berdepan skuad bimbingan Thorsten Fink.

"Ini adalah kali kedua saya dan rakan sepasukan yang lain beraksi di pentas ACL yang begitu kompetitif. Malah persiapan pada saingan musim ini lebih kepada taktikal dan perancangan juga tampak begitu ampuh untuk berdepan kelab-kelab ternama di Asia yang beraksi dalam Kumpulan G.

"Tiba masanya kami akan lakukan yang terbaik pada saingan kumpulan tatkala pada musim lalu persembahan dipamerkan memuaskan namun pada musim ini ini pergi lebih jauh dan berazam beri yang lebih baik.

"Tidak dinafikan Vissel Kobe dibarisi pemain pernah mewarnai Liga Perdana Inggersi (EPL) dan La Liga Sepanyol dan ia pasti beri pengalaman terbaik buat saya dan rakan sepasukan untuk cuba menyaingi kehebatan kelab dari Jepun itu," katanya.

Safawi berkata, walaupun bakal berdepan kesukaran untuk beraksi dalam cuaca sejuk namun semua itu bukan penghalang.

Sebaliknya semangat juang tinggi dan pengalaman siri jelajah pramusim di Dubai, Emiriah Arab Bersatu (UAE) apabila menentang pasukan kebangsaan Turkmenistan, kelab dari Latvia dan Slovakia akan dijadikan bekalan penting mengharungi aksi pertama Kumpulan G.

Skuad Harimau Selatan berlepas ke Kobe, Jepun pagi ini, pasti akan menurunkan kesebelasan terbaik namun tiada kelibat pemain naturalisasi baharu skuad itu, Liridon Krasniqi yang kemungkinan tidak beraksi kerana tidak sempat didaftarkan.

Bagaimanapun pengalaman beraksi pada kancah saingan kelab-kelab elit Asia dan terpilih selaku Kelab Terbaik Piala AFC Sepanjang Dekad pasti menambah lagi keyakinana skuad kendalian Benjamin Mora melakar kejutan ke atas Vissel Kobe.

Berita Harian X