Sabtu, 8 Februari 2020 | 2:34pm
Stadium baharu JDT, Stadium Sultan Ibrahim.
Stadium baharu JDT, Stadium Sultan Ibrahim.

Tiada kena mengena dengan stadium JDT

KUALA LUMPUR: Liga Bolasepak Malaysia (MFL) menafikan dakwaan Liga Malaysia (Liga M) musim ini bermula lewat kerana menunggu stadium baharu Johor Darul Ta’zim (JDT), Stadium Sultan Ibrahim siap sepenuhnya.

Sebaliknya, pemangku Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Datuk Ab Ghani Hassan menegaskan liga terpaksa bermula lebih lewat berbanding musim sebelum ini disebabkan pelaksanaan Program Kawalan Ekonomi (ECP).

“Tak ada (bukan sebab tunggu Stadium Sultan Ibrahim siap), masalahnya ECP. Kita tahu masalah yang berlaku seperti tunggakan gaji dan sebagainya.

“Jadi, ECP perlu dilaksanakan dan banyak kawan kita di liga luar negara memuji langkah ini. Tapi kita tak boleh anggap tahun 2020 ini akan selesai.

“Kita selesai secara berperingkat, kita mahu mendisiplinkan pasukan supaya (berbelanja) mengikut bajet yang ditetapkan dalam ECP,” katanya selepas majlis menandatangani perjanjian antara Telekom Malaysia Berhad (TM) dan MFL, di sini, semalam.

Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Datuk Ab Ghani Hassan. - NSTP/Azhar Ramli
Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Datuk Ab Ghani Hassan. - NSTP/Azhar Ramli

Selain itu, Ab Ghani turut mengesahkan MFL menangguhkan sementara penubuhan badan bebas pengadil yang dikenali sebagai Pegawai Perlawanan Profesional Malaysia (PMOM) kerana kekangan kewangan.

“Maklumlah keadaan ekonomi (tak menentu) sekarang ini dan ia memerlukan perbelanjaan yang besar untuk mengadakan PMOM.

“Begitu juga VAR (sistem pengadil video) kerana ramai yang mengatakan VAR perlu ada dalam Liga M. Ia perlu perbelanjaan besar dan kita juga tangguhkan buat masa ini,” katanya.

Berita Harian X