Khamis, 16 Januari 2020 | 11:12am
Pengadil perlawanan melayangkan kad merah kepada penyerang Arsenal, Pierre-Emerick Auameyang pada perlawanan menentang Crystal Palace, Sabtu lalu. - Foto Getty Image
Pengadil perlawanan melayangkan kad merah kepada penyerang Arsenal, Pierre-Emerick Auameyang pada perlawanan menentang Crystal Palace, Sabtu lalu. - Foto Getty Image

Arteta cabar pemain ganti Aubameyang

LONDON: Pengurus Arsenal, Mikel Arteta meminta pemainnya “tingkatkan permainan” dan memenuhi ruang ditinggalkan Pierre-Emerick Aubameyang berikutan dikenakan penggantungan tiga perlawanan.

Pemain antarabangsa Gabon itu yang membuka jaringan ketika seri 1-1 di Crystal Palace, Sabtu lalu dikenakan kad kuning kerana terjahan terhadap Max Meyer tetapi rakaman video bantuan pengadil menukar hukuman itu kepada kad merah.

Arsenal merayu terhadap hukuman Aubameyang tetapi ia kekal.

Bekas pemain Borussia Dortmund berusia 30 tahun itu sudah menjaringkan 14 daripada 29 gol Arsenal dalam Liga Perdana musim ini.

“Pemain harus tingkatkan permainan,” kata Arteta semalam apabila ditanya sama ada akan terasa kehilangan kapten mereka itu.

“Anda tahu, apabila seorang daripada pemain utama anda tidak ada di sana, mereka perlu mengambil tanggungjawab. Saya yakin apabila mereka tidak bermain, mereka mahu menukar dan mereka bercakap.

“Ini masanya mereka bercakap di padang, bukan di luar. Anda masuk ke sana, datangkan impak yang dia pernah lakukan dan anda perlu tunjukkan kepada saya yang anda sama bagus atau lebih baik daripadanya. Anda ada peluang.”

Arteta juga berdepan kecederaan pertahanan, Sead Kolasinac.- AFP

Berita Harian X