Rabu, 15 Januari 2020 | 7:33pm

MFL umum penaja Liga M bulan depan

SHAH ALAM: Liga Bolasepak Malaysia (MFL) dijangka akan mengumumkan hak penyiaran dan penaja utama Liga Malaysia (Liga M) pada awal bulan depan.

Ia diakui Presidennya, Datuk Hamidin Mohd Amin yang turut menjelaskan badan pentadbir Liga M itu dalam proses perbincangan terakhir mengenai perkara berkenaan.

"Saya tak boleh umum buat masa ini sebab ia dalam proses akhir. Insya-Allah pada awal Februari atau sebelum liga bermula kita akan umum," katanya pada sidang media selepas Majlis Pelancaran Liga M 2020 di sini, hari ini.

Sebelum ini, MFL sudah mengumumkan bahawa jumlah geran tahunan bagi semua pasukan bertanding yang akan dibahagikan bergantung kepada nilai tajaan yang diperolehi.

Dalam perkembangan lain, Hamidin yang juga Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) menjelaskan keberkesanan Program Kawalan Ekonomi (ECP) yang mula diperkenalkan musim ini hanya akan dapat dilihat selepas dua atau tiga tahun akan datang.

Katanya, peringkat pertama pelaksanaan program itu adalah lebih kepada mendidik pasukan bertanding untuk menguruskan kewangan mereka dengan lebih tepat dan berkesan.

"Mungkin musim 2021 ECP akan dilaksanakan sepenuhnya, jadi (musim ini) kita didik pasukan dulu. Tapi untuk langkah pertama kita boleh nampak tindak balas positif daripada pasukan.

"Pasukan sudah mula hantar bajet ikut peraturan, ini salah satu tujuan utama ECP. Sebab itu saya kata tahun pertama ini kita didik pasukan dulu, sampai masa nanti kita mungkin boleh bertindak tegas," katanya.

Hamidin (tengah) melancarkan Liga Malaysia 2020 di Shah Alam, hari ini. - NSTP/Roslin Mat Tahir
Hamidin (tengah) melancarkan Liga Malaysia 2020 di Shah Alam, hari ini. - NSTP/Roslin Mat Tahir
Berita Harian X