Sabtu, 4 Januari 2020 | 10:48am
Penyerang baharu AC Milan, Zlatan Ibrahimovic bergambar bersama kemeja-T pasukan di hadapan ibupejabat kelab di Milan. - Foto AFP
Penyerang baharu AC Milan, Zlatan Ibrahimovic bergambar bersama kemeja-T pasukan di hadapan ibupejabat kelab di Milan. - Foto AFP

Saya tahu cara 'baiki' AC Milan - Ibrahimovic

MILAN: Penyerang Sweden, Zlatan Ibrahimovic teruja untuk melancarkan kebangkitan bersama kelab bergelut, AC Milan dalam kancah Serie A musim ini sejurus rehat musim sejuk berakhir.

Milan dijadual bertemu Sampdoria, Isnin ini yang menjadi perlawanan pertama kelab itu sejak dimalukan dengan kekalahan besar 5-0 kepada Atalanta bulan lalu yang melonjakkan prospek kepulangan semula Ibrahimovic.

"Saya bersedia dan benar-benar berharap untuk diturunkan," kata pemain berusia 38 tahun itu yang kembali ke pangkuan Milan selepas sembilan tahun.

"Ada perkara yang perlu dipertingkatkan di atas padang dan itulah sebab saya berada di sini. Saya tahu apa yang perlu dilakukan, Zlatan masih di sini."

Juara Eropah tujuh kali itu ketika ini menghuni tangga ke-11 liga, ketinggalan 14 mata daripada kelompok tiket ke Liga Juara-Juara dan hanya dibezakan tujuh mata dengan zon penyingkiran.

Sebaliknya seteru tetangga, Inter Milan yang dibimbing Antonio Conte ketika ini mencabar hebat penyandang juara, Juventus di puncak Serie A dengan kedua-dua kelab mengumpul 42 mata daripada 17 perlawanan dan dijarakkan dengan perbezaan gol.

Inter dijadual membuat kunjungan ke Napoli manakala Juve akan beraksi di laman sendiri menentang pasukan tangga keenam, Cagliari yang mencipta kejutan musim ini dalam usaha memburu tempat ke saingan Liga Juara-Juara. - AFP

Berita Harian X