Rabu, 18 Disember 2019 | 12:20pm
PEMAIN tengah Liverpool, Georginio Wijnaldum. - Foto Reuters
PEMAIN tengah Liverpool, Georginio Wijnaldum. - Foto Reuters

Wijnaldum terlepas aksi separuh akhir

QATAR: Pemain tengah Liverpool, Georginio Wijnaldum diketepikan bagi pertembungan separuh akhir Piala Dunia Kelab FIFA menentang kelab Mexico, Monterrey susulan kecederaan otot, kata pengurus Juergen Klopp.

Wijnaldum mengalami kecederaan ketika Liverpool menewaskan Watford 2-0 dalam aksi Liga Perdana, Sabtu lalu namun tetap disenaraikan dalam skuad Reds ke Qatar.

Klopp berkata kecederaan pemain berusia 29 tahun itu tidak serius seperti yang dijangkakan tetapi kelab akan sentiasa memantau perkembangannya.

"Gini tidak serius seperti yang kami jangkakan pada awalnya, jadi dia melakukan proses pemulihan terlebih dulu dan kemudian kami akan lakukan apa yang perlu,” kata Klopp. “Kami akan memantaunya dari hari ke hari, tetapi bagi esok dia tidak akan terbabit.”

Rakan senegara Wijnaldum dari Belanda, Virgil van Dijk juga terlepas sesi latihan di Doha, semalam tetapi Klopp berkata tonggak pertahanan itu tidak mengalami sebarang kecederaan.

“Virgil tidak apa-apa, kami melakukan melakukan sesi pemulihan yang berbeza untuk pemain yang berbeza dan kerana itulah dia tidak terbabit dalam sesi latihan semalam,” kata pengendali dari Jerman itu. “Keseluruhan skuad tidak apa-apa.”

Juara Eropah itu memburu kejuaraan sulung Piala Dunia Kelab dengan pemenang pada perlawanan separuh akhir akan bertemu juara Amerika Selatan, Flamengo pada aksi final Sabtu ini.  - Reuters

Berita Harian X