Selasa, 17 Disember 2019 | 5:16pm
KETUA jurulatih Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe. NSTP/Mohd Yusni Ariffin.
KETUA jurulatih Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe. NSTP/Mohd Yusni Ariffin.

Tak jejas persiapan Harimau Malaya

 

KUALA LUMPUR: Kelewatan sepak mula Liga Malaysia (Liga M) musim depan tidak menjejaskan persiapan Harimau Malaya untuk mengharungi aksi kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023.

Ketua jurulatih Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe berkata pihaknya sudah sedia maklum mengenai perkara itu susulan perbincangan antara Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan MFL sebelum penjadualan Liga M musim depan diputuskan.

Justeru, dia percaya barisan pemain yang terbabit dengan tugasan bersama pasukan kebangsaan mampu mendapatkan momentum terbaik sama ada dalam saingan liga atau di peringkat antarabangsa.

“Bahagian pengurusan FAM dan MFL memang selalu berbincang mangenai jadual pasukan sama ada bagi saingan Liga M dan skuad kebangsaan," kata Cheng Hoe. “Saya juga selalu mengingatkan pemain bahawa mereka perlu bijak menguruskan masa dan menyesuaikan diri dengan cepat dalam suasana liga dan pasukan kebangsaan.

“Saya sebagai jurulatih sentiasa positif bahawa prestasi pemain akan terus konsisten sebaik sahaja liga bermula dan tidak mahu mereka berasa terlalu padat dengan jadual (perlawanan) yang boleh menyebabkan masalah kepenatan."

Anak buah Cheng Heo perlu mengharungi tiga baki aksi kelayakan tahun depan bermula dengan menentang UAE pada 26 Mac diikuti Vietnam (31 Mac) sebelum menamatkan saingan Kumpulan G menentang Thailand pada Jun.

Sebelum ini, MFL menjelaskan prosedur rapi pelaksanaan proses Program Kawalan Ekonomi (ECP) musim depan menjadi faktor liga terpaksa bermula lewat berbanding musim sebelum ini.

Saingan Liga M musim depan akan bermula pada 28 Februari dengan aksi Piala Sumbangsih akan membuka tirai terlebih dahulu menemukan juara Liga Super, Johor Darul Ta’zim (JDT) dan juara Piala FA, Kedah.

Berita Harian X