Ahad, 15 Disember 2019 | 11:53am
Penampilan sulung Gennaro Gattuso sebagai jurulatih Napoli berakhir dengan kekalahan 1-2 kepada Parma. - Foto Reuters
Penampilan sulung Gennaro Gattuso sebagai jurulatih Napoli berakhir dengan kekalahan 1-2 kepada Parma. - Foto Reuters

Gattuso mula langkah kiri

MILAN: Penampilan sulung Gennaro Gattuso sebagai jurulatih Napoli berakhir dengan kekalahan 1-2 kepada Parma ketika deretan tanpa kemenangan naib juara Serie A musim lalu itu berlarutan kepada lapan perlawanan, awal pagi tadi.

Gattuso mengambil alih tugas daripada Carlo Ancelotti yang dipecat selepas kemenangan 4-0 Napoli ke atas Genk dalam kempen Liga Juara-Juara, pertengahan minggu ini.

Begitupun, langkah bekas pengurus AC Milan itu tersasar dengan kelab kendaliannya kini jatuh ke tangga kelapan liga, ketinggalan 17 mata di belakang pendahulu Inter Milan yang dijadual bertemu Fiorentina, malam ini.

Gervinho meledak gol kemenangan buat Parma pada masa kecederaan selepas mereka terlebih dulu di depan menerusi Dejan Kulusevski, empat minit selepas wisel permainan ditiupkan.

Arkadiusz Milik menyamakan kedudukan buat tuan rumah pada minit ke-64 pada perlawanan yang terpaksa ditangguhkan kira-kira sejam selepas angin ribut merosakkan bumbung di Stadium San Paolo.

“Pasukan ini bergelut dari sudut psikologi,” kata Gattuso. “Bermain dengan hakikat kamu tidak pernah menang (dalam saingan liga) selama 50 hari atau lebih.

“Bayangan untuk situasi kami ketika ini adalah 10 minit pertama. Ia sukar, selain ada ejekan daripada penyokong. Ada banyak kerja yang perlu dibuat.”

Gattuso sebelum ini disisihkan Milan selepas gagal membawa kelab itu beraksi di Liga Juara-Juara musim ini tetapi bekas pemenang Piala Dunia bersama Itali itu berkata situasi Napoli adalah berbeza dengan bekas kelabnya. - AFP

Berita Harian X