Sabtu, 14 Disember 2019 | 12:31pm
Pemburuan Manchester City untuk mempertahankan kejuaraan Liga Perdana tampak pudar sebelum Krismas. - Foto Reuters
Pemburuan Manchester City untuk mempertahankan kejuaraan Liga Perdana tampak pudar sebelum Krismas. - Foto Reuters

Apa sudah jadi dengan Man City?

LONDON: Pemburuan Manchester City untuk mempertahankan kejuaraan Liga Perdana tampak pudar sebelum Krismas dengan skuad kendalian Pep Guardiola membuat kunjungan ke Arsenal, esok dengan hakikat pahit ketinggalan 14 mata di belakang pendahulu Liverpool.

City mengharungi tempoh yang mengagumkan, memenangi lima daripada enam gelaran utama domestik terakhir di England tetapi selepas mengharungi 16 perlawanan pada musim ini, mereka sudah melepaskan jumlah mata yang sama seperti musim lalu.

Justeru, timbul persoalan besar apa yang tidak kena dengan skuad mahal dan berbakat di bawah kendalian salah seorang jurulatih terhebat dunia?

Sekali pun mempunyai sumber yang tiada had, City jelas tidak imun dengan masalah kecederaan.

Leroy Sane dan Aymeric Laporte terpaksa berehat panjang susulan kecederaan lutut pada minggu-minggu awal kempen bermula dengan ketiadaan Laporte meninggalkan lopong besar di bahagian pertahanan City.

Fernandinho ditugaskan untuk menggalas tanggungjawab di bahagian pertahanan tengah tetapi ia bermakna mereka turut kehilangan pengaruh pemain Brazil itu di bahagian tengah.

Seteru tetangga, Manchester United mengucar-kacirkan pertahanan City menerusi serangan balas ketika menang 2-1 di Etihad manakala Norwich, Wolves dan Liverpool turut berjaya mendedahkan kelemahan City di bahagian pertahanan dengan menghadiahkan penyandang juara itu kekalahan.

Kegagalan Benjamin Mendy untuk cergas sepenuhnya dan kecederaan Oleksandr Zinchenko juga meningkatkan krisis di bahagian pertahanan malah  pilihan pengganti juga tidak memberikan Guardiola banyak keyakinan.

Malah sebelum kehilangan Laporte, City sudah pun mengalami kekurangan pemain di posisi berkenaan susulan ketiadaan kapten, Vincent Kompany yang meninggalkan kelab itu musim lalu.

Sekali pun musim terakhir Kompany di Etihad turut dibayangi masalah kecederaan, tetapi dia memainkan peranan penting pada musim lalu ketika City memenangi kesemua 14 perlawanan terakhir liga dan mengatasi Liverpool dengan satu mata di penghujung saingan.

Guardiola juga sudah memasuki musim keempatnya di City yang menyamai tempoh terpanjangnya ketika mengemudi Barcelona pada musim 2008 hingga 2012.

Mengulas mengenai keputusan meninggalkan Barca selepas memenangi 14 trofi di Nou Camp, pengendali dari Sepanyol itu berkata pemain-pemain kelab itu memerlukan mesej baharu dan tuntutan tinggi Guardiola terhadap mental dan fizikal turut menjejaskan pemain.

Di City, pemain-pemain utama kelab itu berjaya membawa kelab mengharungi era terbaik mereka tetapi perpindahan Kompany memberi petunjuk mereka memerlukan ‘kekuatan’ yang baharu.

David Silva, 33, Sergio Aguero, 31 dan  Fernandinho, 34, semuanya berkualiti tetapi mereka tidak lagi berada di kemuncak prestasi dengan pemain yang disandarkan untuk menjadi pengganti seperti Rodri tidak begitu menjadi. - AFP

Berita Harian X