Sabtu, 7 Disember 2019 | 8:07am
Penjaga gol AS Roma, Antonio Mirante menyelamatkan gawang dari dibolosi oleh pemain Inter Milan, Matias Vecino pada perlawanan Serie A. - Foto REUTERS
Penjaga gol AS Roma, Antonio Mirante menyelamatkan gawang dari dibolosi oleh pemain Inter Milan, Matias Vecino pada perlawanan Serie A. - Foto REUTERS

Inter diikat Roma

MILAN: Inter Milan diikat seri tanpa jaringan oleh Roma di San Siro awal pagi tadi menyebabkan peluang terbuka buat juara Itali, Juventus mengambil semula kedudukan teratas Serie A.

Skuad kendalian Antonio Conte memiliki kelebihan dua mata mengatasi Juventus yang akan menentang Lazio di Stadio Olimpico awal pagi esok.

Pertemuan di San Siro dibayangi masalah perkauman selepas akhbar Itali, Corriere dello Sport menerbitkan tajuk kontroversi “Black Friday”.

Tajuk muka depan itu diikuti artikel mengenai pertembungan Serie A pertama antara bekas rakan sepasukan Manchester United, Romelu Lukaku dan Chris Smalling.

Di padang, pertahanan Smalling dan Gianluca Mancini mengekang penyerang prolifik Inter, Lukaku dan Lautaro Martinez, dengan pasangan itu sudah menjaringkan 18 daripada gol pasukan mereka dalam 15 perlawanan liga musim ini.

Penyerang Inter Milan, Romelu Lukaku (kanan) menanduk bola melepasi pertahanan AS Roma, Chris Smalling pada perlawanan Serie A. - Foto REUTERS
Penyerang Inter Milan, Romelu Lukaku (kanan) menanduk bola melepasi pertahanan AS Roma, Chris Smalling pada perlawanan Serie A. - Foto REUTERS

Serangan skuad Conte nyata tidak berkesan berdepan pertahanan kental Roma, gagal menemui gawang buat pertama kali musim ini sehari sebelum saingan Liga Juara-Juara menentang Barcelona.

“Pujian terhadap Roma kerana berjaya menyekat Lautaro-Lukaku,” kata jurulatih Paulo Fonseca.

“Peluang utama Inter datang kerana kesilapan kami, tapi kami sentiasa bermain dengan berani dan itulah yang saya mahukan daripada pasukan.

“Kami bertahan dengan bagus. Smalling dan Mancini melalui tempoh yang bagus sama seperti keseluruhan pasukan, ia memang sukar berdepan Inter.” - AFP

Berita Harian X