Sabtu, 7 Disember 2019 | 12:05am
Pep Guardiola (kiri) dan Ole Gunnar Solksjaer. - Foto fail

Pasukan mana bergelar raja Manchester?

KOLUM APA KATA EPL

Perhitungan paling ditunggu minggu ini sudah pasti antara dua seteru tetangga di kota Manchester iaitu antara Manchester City dan Manchester United. Dinantikan bukan saja penyokong setia mereka, malah pesaing lain terutama calon juara liga, Liverpool.

Seperti lazimnya, aksi ini sangat penting bagi kedua-dua pasukan. Sudah pasti kemenangan yang disasarkan Pep Guardiola dan Ole Gunnar Solksjaer.

Buat City, tiga mata yang dikutip akan memastikan cabaran untuk mengejar Liverpool di puncak dan sekali gus mempertahankan kejuaraan masih cerah. Sebaliknya pula jika seri atau tewas. Selepas 15 aksi, City kini ketinggalan 11 mata.

Bagi United pula, kemenangan akan meletakkan mereka pada posisi selesa di tempat lima atau enam terbaik liga ketika saingan sangat sengit menjelang 'Boxing Day' pada 26 Disember ini.

Guardiola menantikan kunjungan The Red Devils dengan motivasi tinggi selepas mengatasi Burnley 4-1 pada aksi pertengahan minggu. Tanpa kelibat Sergio Aquero yang cedera, Gabriel Jesus bakal mengemudi serangan merobek gawang United. United pula tampil dengan semangat berkobar-kobar selepas dua gol Marcus Rashford mengenepikan cabaran Tottenham 2-1 yang dibimbing bekas jurulatih mereka, Jose Mourinho.

Pasukan mana bakal bergelar raja Manchester musim ini selepas ia menjadi milik City musim lalu? Skuad Guardiola menang di Etihad 3-1 dan 2-0 di Old Trafford. Penulis menjangkakan ia kekal milik City bagi aksi pertama ini.

Dalam pada itu, pendahulu liga, Liverpool bakal berkunjung ke Bournemouth dengan kedudukan selesa selepas membelasah jiran mereka, Everton, 5-2 pada pertengahan minggu.

Kemenangan di Anfield bukan saja mengekalkan mereka dengan kelebihan lapan mata, malah mencatat rekod 32 aksi tanpa kalah saingan liga.

Untuk aksi minggu ini, sukar untuk menafikan satu lagi kemenangan bakal dicatat The Reds. Namun melihat prestasi turun naik Bournemouth, tidak hairan jika mereka mampu buat kejutan malam ini.

Leicester City yang terus mencipta gah kemenangan untuk menduduki tangga kedua liga, dijangka tiada masalah mengekalkan posisi tatkala harus teruji bila berkunjung ke Goodison Park bertemu Everton yang pastinya ingin bangkit di laman sendiri.

Mourinho pula bakal membawa Spurs bertemu Burnley di laman sendiri dengan hati terluka di Old Trafford manakala Arsenal mengharap sentuhan pengendali sementara, Freddie Ljungberg untuk bangkit. Selamat menonton.

Ramalan minggu ini

Everton 1 Chelsea 1

Bournemouth 2 Liverpool 3

Tottenham 2 Burnley 1

Watford 1 C Palace 2

Man City 3 Man United 2

Aston Villa 1 Leicester 2

Newcastle 2 Southampton 2

Norwich 2 Sheffield 2

Brighton 1 Wolves 2

West Ham 1 Arsenal 2

Berita Harian X