Khamis, 5 Disember 2019 | 10:12pm
Hazard tampak semakin pasti disisihkan bagi perlawanan penting menentang pendahulu La Liga, Barcelona 19 Disember ini selepas patah pergelangan kaki. - Foto Reuters

Hazard patah pergelangan kaki 

MADRID: Penyerang Real Madrid bernilai 100 juta euro (RM462.72 juta), Eden Hazard tampak semakin pasti disisihkan bagi perlawanan penting menentang pendahulu La Liga, Barcelona 19 Disember ini selepas patah pergelangan kaki.

Penyerang Belgium itu cedera pergelangan kaki kanannya ketika terikat 2-2 di laman sendiri menentang Paris St Germain dalam aksi Liga Juara-Juara selepas bertembung dengan rakan sepasukan kebangsaannya, Thomas Meunier biarpun kelab itu sebelum ini menyatakan dia hanya mengalami lebam.

Satu kenyataan daripada Real hari ini berkata, ujian lanjut ke atas Hazard mendapati 'patah mikro luaran yang tidak lengkap' tetapi tidak menyatakan tempoh pemain itu akan pulih.

Akhbar Sepanyol, Marca melaporkan Hazard dilihat menggunakan tongkat pada majlis makan malam pasukan Real, Rabu lalu dan tiada tarikh ditetapkan untuk dia kembali meskipun pemain itu tidak dijangka membuat kemunculan semula tahun ini.

Real tidak pernah tewas dalam lapan perlawanan dalam kesemua pertandingan dan berada di tangga kedua La Liga dengan 31 mata, menyamai Barca yang berada di puncak dengan kelebihan jaringan. - Reuters

Berita Harian X