Rabu, 4 Disember 2019 | 1:21pm
PENYERANG veteran, Zlatan Ibrahimovic. - Foto Reuters
PENYERANG veteran, Zlatan Ibrahimovic. - Foto Reuters

Jumpa di Itali - Ibrahimovic

LONDON: Penyerang veteran, Zlatan Ibrahimovic memberi bayangan dia akan kembali bermain dan destinasi berikutnya adalah Itali.

Pemain berusia 38 tahun itu tidak mempunyai kontrak sejak meninggalkan kelab Liga Bolasepak Major (MLS), La Galaxy dan pantas dikaitkan dengan beberapa kelab ternama Eropah.

Beberapa kelab Itali menunjukkan minat untuk mendapatkan khidmatnya dengan AC Milan dan Napoli paling menonjol sebelum Ibrahimovic mengesahkan Serie A menjadi pilihannya.

“Saya akan menyertai kelab yang perlu kembali meraih kemenangan, yang perlu memperbaharui sejarah dalam usaha melawan semua pihak dan segala-galanya,” kata Ibrahimovic.

“Ini satu-satunya jalan untuk saya mencari motivasi yang diperlukan untuk mengejutkan kamu semua sekali lagi. Ia bukan saja mengenai saya mencari kelab, ada beberapa faktor yang perlu digariskan termasuk kepentingan keluarga saya. Saya akan jumpa kamu di Itali tidak lama lagi.”

Ibrahimovic sebelum ini pernah bermain di Inter dan AC Milan serta memenangi trofi Serie A sebanyak empat kali bersama kedua-dua kelab berkenaan.

Pengarah AC Milan, Frederic Massara pada minggu ini mengesahkan yang Ibrahimovic tidak menjalani sebarang perbincangan dengan kelab itu.

Sementara itu, Napoli mengharapkan hubungan baik bekas penyerang Manchester United itu dengan pengurus, Carlo Ancelotti dapat membawanya ke kelab berkenaan. - Agensi

Berita Harian X