Ahad, 24 November 2019 | 11:50am
PASUKAN Setiawangsa Rangers FC bergambar bersama hadiah kemenangan.
PASUKAN Setiawangsa Rangers FC bergambar bersama hadiah kemenangan.

Setiawangsa Rangers FC tunjuk belang sebenar

KUALA LUMPUR: Setiawangsa Rangers FC membuktikan mereka berada dalam kelas tersendiri apabila menjuarai Kejohanan Bola Sepak Bawah 15 Tahun Trofi Pengerusi Yayasan Sime Darby 2019, malam tadi.

Jaringan pemain tengah, Muhammad Iqmal Naqiuddin Mohd Zawawi pada minit kelapan sudah cukup menewaskan GenPro FC 1-0 pada aksi final di Padang Latihan Sime Darby FC, Bukit Jelutong.

Kejayaan itu menyaksikan skuad kendalian Irwan Mohd Ali menjulang trofi kejuaraan serta membawa pulang hadiah kemenangan RM1,000.

Lebih membanggakan, benteng pasukan kebal tanpa dibolosi sepanjang kejohanan tajaan bersama 100PLUS dan Milo itu yang turut disertai 16 pasukan terbaik dari Kuala Lumpur, Pahang, Negeri Sembilan, Perak, Melaka dan kelab dari Aceh Indonesia.

GELAGAT tersendiri pemain Setiawangsa Rangers FC apabila ‘tidur’ bersama trofi kejuaraan.
GELAGAT tersendiri pemain Setiawangsa Rangers FC apabila ‘tidur’ bersama trofi kejuaraan.

Pengurus pasukan, Zubir Ahmad berkata, kejayaan itu menjadi penutup musim 2019 yang gemilang buat pasukan selain hadiah perpisahan terbaik buat Irwan yang akan mengendalikan pasukan baharu musim depan.

“Kejayaan ini juga sedikit sebanyak mengubati kekecewaan apabila kami sekadar menduduki tempat ketiga Kejohanan Liga Remaja KL AirAsia, baru-baru ini.

“Kami juga ingin dedikasikan kejayaan manis ini kepada Penaung kelab, Nik Nazmi Nik Ahmad yang juga Ahli Parlimen Setiawangsa, Presiden kelab, Khusairi Aizad Jamalludin, Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Titiwangsa dan semua yang menyokong pasukan,” katanya.

Berita Harian X