Sabtu, 23 November 2019 | 12:05am
Frank Lampard (kiri) dan Pep Guardiola.

Mourinho, aksi City-Chelsea hangatkan EPL

KOLUM APA KATA EPL

Jose Mourinho mencuri perhatian sepanjang minggu ini apabila kembali mewarnai Liga Perdana Inggeris (EPL). Bekas pengendali beberapa kelab ternama Eropah termasuk Manchester United itu dilantik sebagai pembimbing baharu Tottenham Hotspur pada Rabu lalu.

Pengendali berusia 56 tahun itu tidak bekerja sejak meninggalkan United Disember lalu dan menandatangani kontrak hingga penamat musim 2022-23 selepas bersetuju dengan apa ditawarkan Spurs. Dia mengisi tempat Mauricio Pochettino yang dipecat oleh kelab yang sedang bergelut itu.

Ujian pertama Mourinho adalah bertemu West Ham jam 8.30 malam ini waktu Malaysia. Sama ada dia bakal langkah kanan atau sebaliknya, naib juara Liga Juara-Juara itu perlu menang untuk kembali bangkit selepas terperosok di tangga ke-14.

Jika sebelum ini dia dikenali sebagai The Special One, apakah akan ada lagi gelaran untuk dirinya jika dapat menyelamatkan maruah Spurs atau sebaliknya. Selain United, dia juga pernah membimbing Chelsea dalam saingan EPL. Kita ucapkan selamat berjaya kepada Mourinho.

Apapun, minggu ini, satu lagi pertembungan sensasi bakal tercetus di Manchester. Penyandang juara, Manchester City akan menyambut kunjungan pencabar utama liga yang semakin menyerlah di bawah bimbingan Frank Lampard, Chelsea bagi aksi ke-13.

Tentunya, ramai menyedari keputusan perlawanan ini penting buat kedua-dua pasukan. Menang, seri atau kalah, ia bakal memberi impak besar kepada buruan mereka bergelar juara selepas kedudukan pendahulu selesa dikuasai LIverpool selepas 12 perlawanan.

Sebelum turun ke Etihad, The Blues di tangga ketiga liga dengan himpunanan 26 mata, ketinggalan lapan mata di belakang skuad Jurgen Klopp yang mengumpul 34 mata. Ia hanya berkelebihan satu mata di belakang City di tempat keempat, dan mempunyai mata sama dengan Leicester di tangga kedua.

Skuad Pep Guardiola tampil menyambut Chelsea dengan motivasi untuk bangkit selepas kecundang 1-3 kepada Liverpool di Anfield pada 11 November lalu. Kekalahan memeritkan itu jelas meruntun jiwa skuad The Citizens kerana ia semakin menjarakkan kedudukan dengan pencabarnya itu kepada sembilan mata.

Sebaliknya, The Blues pula bertandang dengan semangat luar biasa selepas mencatat kemenangan kelapan liga dengan Crystal Palace menjadi mangsa terakhir mereka di laman sendiri, 2-0. Saya jangkakan aksi ini bakal sengit, namun City bakal mendapat mata penuh.

Sementara itu, Liverpool bakal berkunjung ke Selhurst Park, untuk bertemu dengan Palace. Kemenangan di sini, pastinya akan membantu skuad Klopp untuk melebarkan kelebihan mereka tatkala lawannya itu tekad bangkit.

Apapun mereka perlu berhati-hati kerana Palace sebelum ini berjaya mengejutkan United pada Ogos lalu dengan kemenangan 2-1, selain mengikat Arsenal 2-2. Pada aksi terakhir, mereka tewas di tangan Chelsea, 2-0.

Sementara itu, United akan berkunjung ke Sheffield manakala Arsenal menerima kunjungan Southampton Kedua-dua pasukan perlu terus mencatat kemenangan sekiranya tidak ingin ketinggalan lebih jauh di belakang bagi merebut tempat ke saingan Eropah musim depan. Selamat menonton.

Ramalan Minggu Ini

West Ham 1 Tottenham 2

Arsenal 3 Southampton 1

Bournemouth 1 Wolves 1

Brighton 0 Leicester 2

C Palace 1 Liverpool 3

Everton 3 Norwich 1

Watford 1 Burnley 1

Man City 2 Chelsea 1

Sheffield 1 Man United 2

Aston Villa 2 Newcastle 1

Berita Harian X