Khamis, 21 November 2019 | 12:08pm
Mauricio Pochettino menamatkan kerjaya di Tottenham selepas dipecat semalam. - Foto EPA

Pochettino makin laris

LONDON: Barcelona dilaporkan sudah bersedia menawar diri sebagai antara kelab utama Eropah cuba mendapatkan Mauricio Pochettino.

Pengendali dari Argentina itu menamatkan kerjaya di Tottenham selepas dipecat semalam.

Namun destinasi Pochettino seterusnya tampak sudah disediakan dan The Sun melaporkan Barcelona sudah bersedia membuat pendekatan terbaik.

Ernesto Valverde berdepan tekanan di Nou Camp selepas permulaan hambar musim ini.

Bayern Munich juga dipercayai sedang mencari pengganti untuk tempoh yang lama selepas pemergian Niko Kovac awal bulan ini walaupun Hansi Flick mengendalikan sementara pasukan di Allianz Arena.

Minat ditunjukkan Barcelona paling menarik dengan Pochettino sebelum ini menjarakkan diri dengan gergasi Catalan itu kerana bersama Espanyol.

Dia pernah berkata pada 2018: “Ia sesuatu yang lebih mudah difahami.

“Saya ada ramai kawan di Barcelona, yang berasal dari Blaugrana dan saya amat menghormati mereka, tapi laluan saya dan Barcelona berbeza, arah berlainan, dan melatih pasukan itu seperti mustahil.” - Agensi

Berita Harian X