Ahad, 17 November 2019 | 12:11am
Selangor tamatkan kontrak Michal Nguyen. - NSTP/Hairul Anuar Rahim

Selangor lepas Nguyen, Dos Santos

KUALA LUMPUR: Selangor sah melepaskan dua pemain importnya selepas tidak melanjutkan kontrak mereka untuk menghadapi musim baharu iaitu pertahanan tengah, Michal Nguyen dan pemain tengah, Endrick Dos Santos.

Pengesahan itu dibuat menerusi laman rasmi Persatuan Bolasepak Selangor (FAS).

Perkembangan itu  menyaksikan The Red Giants hanya memiliki satu lagi slot import untuk diisi iaitu kuota import ASEAN selepas mereka sebelum ini membuat keputusan mengekalkan empat pemain import sedia ada iaitu Rufino Segovia, Ifedao Olusegun, Sandro da Silva dan Taylor Regan.

Dalam perkembangan sama, FAS mengesahkan enam pemain tempatan turut dilepaskan iaitu Latiff Suhaimi, Faiz Nasir, Nurridzuan Abu Hassan, Azreen Zulkafali, Fandi Othman dan Norhakim Isa.

“Sudah menjadi lumrah bola sepak tiada pemain yang akan kekal selama-lamanya untuk sesebuah pasukan,” kata FAS.

“Oleh disebabkan itu, FAS ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada beberapa pemain yang akan meninggalkan skuad Selangor bagi musim ini.

“Meskipun tidak lagi menyarung jersi Selangor selepas ini, nama anda akan kekal dalam sejarah bola sepak Selangor sampai bila-bila.

“Jasa anda akan sentiasa kami kenang. Selamat tinggal dan terima kasih.”

Sebagai rekod, antara pemain yang akan terus menyarung jersi Selangor bagi musim hadapan adalah Khyril Muhymeen Zambri, Wan Zack Haikal Wan Noor, K Prabakaran, Halim Saari, Syukri Azman, Syahmi Safari, K Sarkunan dan Syazwan Zainon.

Turut mengikut jejak kekal bersama Selangor adalah A Namathevan, Khairulazhan Khalid, Sean Selvaraj, Ashmawi Yakin, Tamil Maran, Haziq Ridwan dan Farizal Harun.

Berita Harian X