Rabu, 13 November 2019 | 11:50am
Mohamed Salah.
Mohamed Salah.

Mesir hampa terlepas khidmat Salah

KAHERAH, Mesir: Sayap Liverpool, Mohamed Salah terlepas peluang mewakili Mesir dalam aksi pertama peringkat Kelayakan Kumpulan G Piala Afrika menentang Kenya dan Comoros susulan kecederaan buku lali.

Kecederaan Salah itu berulang selepas bertembung dengan Hamza Choudhury ketika berdepan Leicester City, baru-baru ini.

Pemain berusia 27 tahun itu jelas menanggung kesakitan ketika membantu Liverpool menang 3-1 ke atas Manchester City, dalam saingan Liga Perdana Inggeris, Isnin lalu.

Pada hujung saingan itu, kaki Salah terpaksa dibalut bagi mengurangkan kesakitan.

Salah kembali ke Mesir kelmarin untuk menyertai latihan skuad kebangsaan namun Persatuan Bolasepak Mesir (EFA), mengesahkan bahawa dia dikecualikan daripada skuad yang bakal menentang Kenya dan Comoros.

"Ujian perubatan mengesahkan Salah tidak sedia untuk aksi melawan Kenya dan Comoros," kata EFA menerusi kenyataan rasmi di Twitter pagi ini.

Salah sudah menjaringkan sembilan gol dalam semua kejohanan buat Liverpool musim ini termasuk lima gol daripada tujuh penampilan terakhirnya setakat ini.

Mesir bakal berdepan Kenya di Alexandria dalam aksi pertama kelayakan peringkat kumpulan esok sebelum bertandang ke Moroni empat hari kemudian. – Agensi

Berita Harian X