Ahad, 10 November 2019 | 8:50pm
Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin. - Foto Owee Ah Chun
Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin. - Foto Owee Ah Chun

Hanya permulaan, jangan terlalu selesa - Hamidin

 

KUALA LUMPUR: Ini baru permulaan!

Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin menegaskan skuad bawah 18 tahun negara (B-18) tidak boleh terlalu selesa sekalipun menempah tiket secara merit ke pusingan akhir Kejuaraan Bawah 19 Tahun (B-19) Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) di Uzbekistan, tahun depan.

Mengambil kesempatan mengucapkan tahniah atas kejayaan itu, Hamidin mahu anak buah Brad Maloney terus fokus untuk mengharungi pusingan akhir yang sudah pastinya menjanjikan saingan lebih sengit dengan kehadiran banyak pasukan terkemuka Asia itu.

“Tahniah kepada seluruh barisan kejurulatihan dan pengurus pasukan yang juga Exco FAM, Datuk Kamarul Ariffin Mohd Shahar. 

“Tetapi ini hanyalah permulaan. Skuad kebangsaan perlu kekal fokus untuk berdepan 11 pasukan juara dan empat naib juara yang lain pada pusingan akhir nanti. 

"Apapun skuad kebangsaan berjaya bermain dengan baik, berdedikasi dan berdisiplin demi negara dan demi ibu bapa masing-masing. Anda sudah membuatkan kami semua bangga. 

"Selepas ini anda perlu melengkapkan diri dengan lebih baik kerana laluan kita pastinya lebih sukar di pusingan akhir," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Hamidin turut menyaksikan perlawanan di Kemboja itu diiringi Naib Presiden FAM, Datuk S Sivasundaram dan Exco FAM, Md Dali Wahid.

Terdahulu, skuad muda negara menundukkan Thailand 1-0 pada aksi terakhir peringkat kelayakan untuk menggungguli Kumpulan G sekali gus mengekalkan rekod bersih menang semua empat perlawanan diharungi mereka.

Berita Harian X