Ahad, 10 November 2019 | 1:40pm
ILKAY Gundogan
ILKAY Gundogan

Kalah tak bermakna pemburuan trofi berakhir - Gundogan

LONDON: Ilkay Gundogan percaya Manchester City tidak akan tergelincir daripada pemburuan kejuaraan Liga Perdana sekali pun mereka tewas kepada Liverpool, malam ini.

Kekalahan di Anfield akan menyaksikan penyandang juara itu menamatkan saingan minggu ini di kedudukan keempat liga, ketinggalan sembilan mata di belakang Reds selepas mengharungi 12 perlawanan.

City menyalakan kembali pemburuan kejuaraan musim lalu dengan kemenangan 2-1 ke atas skuad kendalian Jurgen Klopp pada Januari tatkala kekalahan menyaksikan mereka akan dibezakan dengan 10 mata.

Justeru, pemain kebangsaan Jerman itu percaya peluang pasukannya masih terbuka sekali pun Liverpool mengukuhkan kedudukan mereka di puncak liga.

“Masih banyak perlawanan yang perlu diharungi,” kata Gundogan. “Jika Liverpool menang, orang akan bercakap mengenai bagaimana sembilan mata terlalu banyak.

“Jika kami menang, orang akan berkata ia adalah permulaan seperti ketika kami mula mengejar mereka pada musim lalu, mengatasi perbezaan mata yang banyak untuk memenangi gelaran.

“Kebenarannya adalah terlalu jauh untuk menyatakannya. Kami masih perlu bermain selama enam bulan dalam liga paling kompetitif di dunia dan mustahil untuk menjangkakan setiap keputusan di antara sekarang hingga penghujung musim, hanya orang yang melakukannya ketika ini.

“Hanya satu mata memisahkan kami musim lalu jadi tidak salah untuk beranggapan yang keputusan tidak penting tetapi ia tidak bermakna ia lebih penting berbanding pertemuan dengan Chelsea atau Newcastle pada bulan ini disebabkan oleh tarikan terhadap perlawanan ini.”

City nampak seperti akan mencantas kelebihan Liverpool apabila bangkit daripada ketinggalan sebelum menewaskan Southampton tetapi pendahulu liga itu turut bangkit dan mencatat kemenangan ke atas Aston Villa menerusi jaringan masa kecederaan Sadio Mane. - Agensi

Berita Harian X