Sabtu, 9 November 2019 | 7:48am
PEMAIN Leganes, Unai Bustinza (bawah) mengasak pemain Sociedad, Mikel Oyarzabal pada aksi La Liga Sepanyol di Stadium Reale Arena, awal pagi tadi. - Foto EPA

Sociedad daki puncak La Liga

MADRID: Kelab dari Basque, Real Sociedad merampas kedudukan teratas La Liga Sepanyol, awal pagi tadi selepas mencatat keputusan seri 1-1 menentang pasukan tercorot, Leganes.

Pada musim yang menyaksikan beberapa pasukan bersilih ganti mengisi carta teratas termasuk Granada, Sociedad mengumpul 23 mata daripada 13 perlawanan manakala Barcelona dan Real Madrid ketinggalan satu mata di belakang.

Begitupun, kedua-dua kelab gergasi itu memiliki kelebihan dua perlawanan termasuk pada malam ini.

Penyerang Sociedad, Mikel Merino meletakkan pasukannya di depan pada minit ke-63 sebelum pemain kelahiran Maghribi, Youssef En-Nesyri menyamakan kedudukan buat pelawat pada minit ke-78 menerusi tandukan.


PENYERANG Sociedad, Mikel Merino meraikan jaringannya dalam perlawanan menentang Leganes pada aksi La Liga Sepanyol di Stadium Reale Arena, awal pagi tadi. - Foto EPA

“Saya melihat riak muka kecewa di dalam dan luar bilik persalinan, tetapi kami perlu gembira,” kata jurulatih Sociedad, Imanol Alguacil.

Rakan sejawatnya di Leganes, Javier Aguirre turut melihat keputusan itu sebagai positif.

"Kami masih berada di kedudukan tercorot dan itulah yang berlaku kadang kala tetapi kami memperoleh satu mata di gelanggang yang sukar dan pasukan yang mengisi tangga teratas liga. Jadi saya gembira dengan pemain,” kata Aguirre.

Leganes hanya mengutip enam mata dan berdepan laluan sukar untuk mengelak zon penyingkiran. - AFP

 

 

Berita Harian X