Jumaat, 8 November 2019 | 6:02pm

Peluang belajar dari Tajikistan

KUALA LUMPUR: Peluang bertemu Tajikistan pada aksi persahabatan di Stadium Nasional, Bukit Jalil malam esok menjadi medan ujian sempurna buat Harimau Malaya untuk kembali bangkit pada kempen Kelayakan Piala Dunia 2022/ Piala Asia 2023.

 Ini kerana pertemuan dengan lawan yang menghuni tangga ke-116 dunia itu membolehkan Tan Cheng Hoe mengenal pasti kelemahan pasukan ketika menentang pasukan lebih baik.

 Cheng Hoe berkata, secara tidak langsung pasukan kendaliannya yang menghuni ranking ke-158 dapat belajar sesuatu menjelang pertemuan keempat Kumpulan G Kelayakan Piala Dunia 2022/ Piala Asia 2023 bertemu Thailand, Khamis ini.

 "Saya selalu tegaskan kami perlu bermain dengan pasukan lebih kuat untuk dapatkan keyakinan dan kita perlu belajar sesuatu daripada segi teknikal, taktikal dan juga intensiti perlawanan.

 "Bukan senang untuk dapatkan pasukan lebih baik daripada kita. Kebetulan kita ada peluang dan kita perlu ambil kesempatan ini," katanya ketika sidang media praperlawanan di Stadium Nasional, hari ini.

 Sebelum ini, aksi dengan Vietnam, 10 Oktober lalu, Harimau Malaya hanya berkesempatan menentang Sri Lanka yang menghuni ranking ke-203 dunia.

 Untuk itu, Cheng Hoe mahu gunakan perlawanan ini bagi mencari bayangan kesebelasan terbaik bagi diturunkan pada aksi dengan Thailand selepas ini.

 "Kita nampak Tajikistan dalam aksi kelayakan Piala Dunia 2022/ Piala Asia 2023 sebelum ini. Mereka memiliki intensiti, kualiti dan juga fizikal lebih baik berbanding pemain kita.

 "Kita perlu menyerang sebagai satu unit dan begitu juga ketika bertahan. Kami masih lagi mencari kombinasi dan ramuan terbaik untuk kesebelasan utama untuk menentang Thailand nanti," katanya.

Ketua jurulatih Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe. - NSTP/Owee Ah Chun
Berita Harian X