Khamis, 7 November 2019 | 11:20am
SANTOKH Singh
SANTOKH Singh

Santokh gesa FAM wujud dua Harimau Malaya

KUALA LUMPUR: Bekas pemain kebangsaan, Datuk Santokh Singh berpendapat skuad kebangsaan memerlukan pasukan sokongan bagi memastikan kelangsungan pemain setiap kali menghadapi perlawanan tertentu.

Pandangan itu dilontarkan Santokh ketika sesi pertemuan bekas pemain kebangsaan bersama Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin di Kelana Jaya, semalam.

Santokh berkata, Harimau Malaya perlu mewujudkan pasukan A dan B yang memiliki kekuatan seimbang.

“Ia bermaksud kita tidak perlu risau andai kata ada pemain cedera, sebagai contoh jika Azam Azih cedera kita terus ada seorang lagi pemain miripnya sebagai ganti tanpa membuang masa.

“Selain itu, inisiatif Hamidin mengadakan pertemuan dengan bekas pemain kebangsaan adalah baik dan bagus untuk pembangunan bola sepak.

“Pengalaman kami selaku orang lama dalam bola sepak kini didengar dengan setiap daripada kami melontarkan idea secara telus,” katanya.

Antara bekas pemain yang turut diundang pada pertemuan itu termasuk Datuk Soh Chin Aun, Datuk Hassan Sani, Datuk Jamal Nasir, Zainal Abidin Hassan, Khalid Ali, Azman Adnan, K Gunalan, Malek Rahman, Stanley Bernard, Hasnizam Uzir dan Asmawi Bakiri.

Sementara itu, Hassan menjelaskan perkara paling penting adalah sikap pemain itu sendiri yang perlu menyarungkan jersi Harimau Malaya benar-benar demi negara.

“Jadi pemain yang ada sekarang ini, bermainlah demi negara, fokus dan anda perlu berani.

“Skuad kebangsaan kita sebenarnya ada peningkatan dari Thailand, Vietnam dan Singapura, kita cuma perlu fokus untuk konsisten.

“Zaman kami dahulu bukan mudah untuk bermain dalam skuad kebangsaan, jadi kami main betul-betul untuk negara, sanggup mati dan lakukan apa sahaja. Pemain juga perlu lebih cergas dan disiplin,” katanya.

Berita Harian X