Rabu, 6 November 2019 | 4:46pm
HAMIDIN (tengah) bersama bekas pemain Malaysia ketika sesi perjumpaan khas di Wisma FAM. - Foto FB FAM
HAMIDIN (tengah) bersama bekas pemain Malaysia ketika sesi perjumpaan khas di Wisma FAM. - Foto FB FAM

Hamidin, bekas pemain Malaysia adakan perbincangan

KUALA LUMPUR: Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin buat julung kalinya mengadakan sesi perjumpaan khas bersama bekas pemain kebangsaan untuk mendapatkan buah fikiran dalam usaha menaikkan lagi prestasi dan mutu bola sepak negara.

Pada pertemuan di Wisma FAM, Kelana Jaya, dekat sini, hari ini, ia dihadiri beberapa legenda termasuk Datuk Santokh Sigh, Datuk Soh Chin Aun, Datuk Hassan Sani, Datuk Jamal Nasir, Zainal Abidin Hassan, Khalid Ali, Azman Adnan, K Gunalan, Malek Rahman, Stanley Bernard, Hasnizam Uzir dan Asmawi Bakiri.

Hamidin berkata, pertemuan ini bagi membuka peluang buat bekas pemain kebangsaan yang pernah melonjakkan nama skuad Harimau Malaya satu ketika dahulu melontarkan idea umpama 'brainstorming' bagi membantu memartabatkan lagi bola sepak negara.

"Sesi ini membuka ruang untuk setiap bekas pemain yang hadir menyuarakan pandangan secara telus dan terbuka dalam usaha bersama memajukan serta memperbaiki lagi prestasi skuad bola sepak kebangsaan.

"Perbincangan bersama bekas pemain seumpama ini adalah yang pertama kali diadakan, hasilnya sangat bernas dan kami akan mengguna pakai pandangan mereka untuk memperbaiki lagi skuad kebangsaan," katanya.

Sementara itu, Chin Aun pula berkata, semua yang hadir pada hari ini adalah pemain bola sepak terbaik suatu ketika dulu mengikut generasi masing-masing.

"Hari ini kita bukan sahaja dapat 'reunion' malah sama-sama dapat berdebat, berbincang memberi pandangan masing-masing kerana bola sepak ini terutama peraturannya sering berubah mengikut peredaran zaman.

"Maka kami berbesar hari kerana diberi peluang membantu pasukan kebangsaan dari segi memberi pendapat dan idea terbaik.

"Setiap dari kami tadi mempunyai pandangan berbeza. Cuma bagi saya kita tidak jauh beza dengan Thailand dan Vietnam, yang mana standard pemain kita mampu setara dengan mereka cuba perlu perbaiki lagi," katanya.

Berita Harian X