Isnin, 4 November 2019 | 7:34pm
DAVID Silva
DAVID Silva

City layan Reds tanpa Silva

LONDON: Kapten Manchester City, David Silva berkemungkinan terlepas pertembungan menarik dua pasukan teratas Liga Perdana menentang Liverpool, awal pagi Isnin depan susulan kecederaan, kata pengendalinya Pep Guardiola.

Pemain tengah berusia 33 tahun itu yang mengharungi musim terakhirnya di Etihad mengalami kecederaan otot ketika penghujung babak pertama perlawanan menentang Southampton, Sabtu lalu yang berkesudahan City menang 2-1.

City yang ketinggalan enam mata di belakang Liverpool tidak mendedahkan perincian membabitkan kecederaan berkenaan tetapi kebiasaannya situasi itu memerlukan kira-kira dua minggu untuk pulih.

"David Silva mengalami kecederaan,” kata Guardiola. “Lima minit sebelum babak pertama berakhir, dia memberitahu saya dia mengalami masalah otot. 

“Apabila dia mengalami masalah otot dan langsung tidak boleh bermain, ia adalah disebabkan sesuatu dan kebiasaannya kecederaan seperti itu sentiasa memerlukan 10 ke 12 hari minimum untuk pulih.”

Guardiola yang pasukannya akan bertemu kelab Itali, Atalanta dalam kempen Liga Juara-Juara, awal pagi Khamis ini mengakui rekod kebal Liverpool yang tidak pernah kalah di Anfield sejak Januari 2017 sebagai prospek yang menakutkan.

Liverpool juga belum kalah dalam kempen Liga Perdana sejak tewas di Etihad pada Januari lalu dan hanya melepaskan dua mata setakat ini, iaitu ketika seri 1-1 menentang kelab tetangga City, Manchester United.

“Sudah berapa abad mereka tidak pernah tewas di Anfield? Kita akan lihat,” kata Guardiola secara berjenaka. “Kini kami akan ke Itali dan kemudian pulang ke Anfield. Banyak perkara yang boleh berlaku dan masih banyak perlawanan yang perlu diharungi.” - Reuters

 

 

Berita Harian X