Isnin, 28 Oktober 2019 | 8:31am
SCOTT McTominay (dua dari kiri) meraikan jaringan gol bersama rakan sepasukan. - Foto Reuters
ANTHONY Martial selepas menjaringkan gol. - Foto Reuters

Man Utd akhiri badi tempat lawan

NORWICH, United Kingdom: Ole Gunnar Solskjaer boleh menarik nafas lega selepas Manchester United kendaliannya menamatkan kemarau lapan bulan kemenangan di tempat lawan dalam saingan Liga Perdana Inggeris apabila anak buahnya menewaskan Norwich City 3-1 awal pagi tadi.

Gol-gol jaringan Scott McTominay, Marcus Rashford dan Anthony Martial melengkapkan persembahan cemerlang United di Carrow Road.

Selepas keputusan seri hujung minggu lalu di Old Trafford yang menamatkan permulaan 100 peratus Liverpool musim ini, United berdepan empat perlawanan berturut-turut di tempat lawan.

Bagaimanapun United yang perlu menunggu sehingga Disember untuk kepulangan Paul Pogba, memulakan cabaran getir itu dengan menewaskan Partizan Belgrade dalam saingan Liga Europa pada Khamis.

Dengan Norwich juga sudah ditewaskan, anak buah Solskjaer kini perlu bersedia untuk kunjungan ke Chelsea dan Bournemouth.


MARCUS Rashford ketika mengambil sepakan penalti. - Foto EPA

“Ia sudah begitu lama tetapi kami berjaya melakukannya. Tetapi sudah tentu persembahan malam ini yang paling menggembirakan,” kata Solskjaer.

“Gelanggang ini antara yang paling sukar, tetapi kami fokus dan kami mampu menewaskan sesiapa saja di laman mereka.”

McTominay meledak gol Liga Perdana ke-2000 United di pertengahan babak pertama dan Rashford menggandakan kedudukan pada minit ke-30 sebelum Martial melengkapkan kemenangan pada minit ke-73.

Gol tunggal tuan rumah dijaringkan pemain gantian Onel Hernandez – pemain Cuba pertama menjaringkan gol di kancah Liga Perdana Inggeris. – AFP

Berita Harian X