Rabu, 23 Oktober 2019 | 11:35pm
PASUKAN Arsenal menjalani latihan menjelang aksi Liga Europa menentang Vitoria Guimaraes, awal pagi Jumaat ini. - Foto REUTERS

Arsenal terima kritikan penyokong

LONDON: Pengurus Arsenal, Unai Emery berkata dia menerima kritikan penyokong selepas persembahan longlai pasukannya ketika kalah kepada Sheffield United tetapi dia kini fokus untuk kekal di persada kumpulan Liga Europa dengan mengatasi Vitoria Guimaraes awal pagi Jumaat ini.

Arsenal tewas dalam usaha mendaki ke kedudukan ketiga Liga Perdana ketika muka baharu Liga Perdana itu menewaskan mereka 1-0 Isnin lalu dan tekanan mula dirasai Emery.

Pengendali dari Sepanyol itu ditanya sama ada pasukannya kini lebih baik berbanding skuad diwarisi daripada Arsene Wenger dan berkata dia berpuas hati dengan apa dilakukan di kelab berkenaan.

“Dalam karier saya adalah normal melalui saat sukar dan kritikan terhadap kerja dan tugasan kami,” kata Emery kepada wartawan hari ini. “Kami ada satu pandangan. Pendapat penyokong... kami perlu menerimanya.

“Kami hilang peluang besar dalam Liga Perdana untuk berada di kedudukan ketiga liga. Kami kelima dan ada peluang pada Ahad. Kami perlu lebih baik tetapi itu adalah satu proses... dalam melaluinya saya gembira.

“Kami perlu memikirkan bagaimana kami boleh melakukannya... mara dan mencapai sasaran kami. Secara cepat, ialah menang esok. Dalam kejohanan ini kami menang dua perlawanan dan bermain dengan baik dengan keputusan yang bagus.”

Arsenal kini di kedudukan teratas Kumpulan F dengan enam mata daripada dua perlawanan dan Emery percaya persembahan positif berdepan pasukan terbawah tanpa kemenangan akan membantu mereka apabila akan berdepan Crystal Palace pada Ahad. - Reuters

 

 

Berita Harian X