Rabu, 23 Oktober 2019 | 1:38pm
PEMAIN tengah Tok Gajah, Faisal Halim. - Foto Mohd Rafi Mamat

Inilah masa Pahang tebus kecewa - Faisal 

KUANTAN: Skuad Pahang tidak mahu episod hitam ketika gagal layak ke final Piala FA berulang pada separuh akhir Piala Malaysia.

Ia sudah terbukti apabila Pahang melakar kemenangan besar 3-1 pada separuh akhir pertama tetapi akur apabila tewas 0-3 pada aksi kedua di tangan Perak menerusi agregat 4-3.

Atas sebab itu, kejayaan skuad kendalian Dollah Salleh mengikat Kedah 3-3 pada separuh akhir pertama di Stadium Darul Aman diharap berakhir dengan kegembiraan di Stadium Darul Makmur, Sabtu ini.

Justeru, pemain tengah Tok Gajah, Faisal Halim mahu misi skuad itu ke pentas final piala berprestij itu mampu diterjemahkan di hadapan penyokong sendiri.

"Bagi saya, kami tidak boleh berburu-buru mendapatkan gol kerana lawan sudah pasti mahu mencari gol awal sebagai motivasi buat mereka.

"Sebaliknya, kami perlu bermain seperti biasa terutama memastikan setiap jentera berada pada prestasi terbaik.

"Kami juga tidak mahu seperti yang berlaku pada separuh akhir Piala FA yang menyaksikan Pahang begitu selesa dengan bekalan 3-1 tetapi akhirnya dikecewakan Perak 0-3 di atas kesilapan sendiri," katanya.

Namun, Faisal atau mesra dengan sapaan Mickey berkata, beraksi di laman sendiri ternyata memberi kelebihan buat skuad itu itu melakar kemenangan ke atas skuad Helang Merah.

Katanya, tiada yang lebih mengembirakan untuk membawa skuad Tok Gajah ke pentas final seperti yang pernah dilakukan pada 2013 dan 2014 yang menyaksikan Pahang muncul juara.

"Saya percaya dengan komitmen rakan sepasukan yang mempamer komitmen tinggi dan bebas daripada kecederaan, tiada yang mustahil untuk mencapai misi berkenaan.

"Kami perlu menang untuk memadam kekecewaan terlepas dua piala musim ini iaitu Piala Liga Super dan Piala FA," katanya yang menjaringkan lima gol, masing-masing tiga gol di Liga Super dan dua dalam saingan Piala FA.

Berita Harian X