Rabu, 23 Oktober 2019 | 9:54am

Spurs siasat dalang jual tiket haram

LONDON:Tottenham Hotspur akan mengambil tindakan keras terhadap ratusan peminat Red Star Belgrade yang melanggar larangan UEFA apabila menyaksikan perlawanan Kumpulan B Liga Juara-Juara awal pagi ini.

Peminat Red Star dilarang membeli tiket pertemuan aksi di London itu selepas dikenakan hukuman atas tindakan perkauman peminat mereka ketika kelayakan Liga Juara-Juara menentang HJK Helsinki.

Namun kumpulan peminat itu kelihatan berada di bahagian atas stadium di kawasan belakang gol, meskipun tidak banyak banyak kedengaran sorakkan mereka berikutan kekalahan 5-0 pasukan mereka.

Persoalan bagaimana tiket itu boleh diperoleh masih tidak jelas tetapi Tottenham berkata mereka akan mencari puncanya termasuklah kemungkinan peminat tempatan menjual tiket kepada peminat pasukan lawan.

“Penyokong Red Star secara haram memperoleh tiket di Tingkat 5 dan duduk dalam satu kumpulan di satu bahagian stadium.

“Pihak polis mengenal pasti kumpulan itu namun bilangan yang terlalu ramai menyebabkan sukar untuk dibawa keluar. Kami melancarkan siasatan penuh bagi mengetahui bagaimana tiket itu dibeli.

“Kami akan mengambil tindakan keras terhadap mana-mana individu yang menjual tiket kepada mereka,” kata jurucakap Tottenham.

Jurucakap UEFA pula berkata mereka akan menunggu laporan lenkap terlebih dahulu sebelum memutuskan sebarang tindakan. – Reuters 

 

Berita Harian X