Rabu, 23 Oktober 2019 | 8:38am
ROBERT Lewandowski dan Joshua Kimmich pada aksi Kumpulan B Liga Juara-Juara. - Foto Reuters

Neuer belum puas hati kemenangan Bayern

ATHENS: Robert Lewandowski menjaringkan dua gol bagi membantu juara Jerman, Bayern Munich menewaskan tuan rumah, Olympiakos 3-2 pagi tadi sekali gus kekal di kedudukan teratas Kumpulan B Liga Juara-Juara.

Prestasi pasukan The Bavarian itu jauh daripada persembahan mereka ketika menewaskan Tottenham Hotspur 7-2 dalam perlawanan terdahulu, dan kini bolos dua gol bagi perlawanan kelima berturut-turut.

Mereka juga kehilangan pertahanan, Lucas Hernandez dan Javi Martinez yang mengalami kecederaan.

Olympiakos menjaringkan gol pembukaan apabila sepakan lintang Kostas Tsimikas kepada Youssef El Arabi yang membuat percubaan jauh bagi mengatasi penjaga gol,  Manuel Neuer.


MANUEL Neuer

Bayern, yang memperoleh satu mata daripada dua pertemuan Bundesliga sejak menewaskan Tottenham, menyamakan kedudukan apabila Lewandowski menjaringkan gol pada minit ke-34.

Lewandowski kemudian sekali lagi membantu pasukan mendahului apabila menyumbat gol daripada jarak dekat pada minit ke-62 bagi jaringan ke-18 yang dikumpulnya dalam semua kejohanan.

Corentin Toliusso pula menambah gol ketiga pada minit ke-75 sebelum tuan rumah merapatkan jurang  apabila Guilherme dos Santos Torres menjaringkan gol empat minit kemudian.

Kemenangan itu membolehkan Bayern kini mendahului dengan sembilan mata daripada tiga perlawanan.

Tottenham pula yang menewaskan Red Star Belgrade 5-0 melonjak di kedudukan kedua, satu mata di depan Serbia.

Olympiakos pula di kedudukan terbawah dengan hanya memperoleh satu mata.

“Kami sekali lagi memilih jalan sukar dan tidak melakukan yang terbaik,” kata Neuer.

“Kami perlu terus berusaha, menganalisa dan melihat apa yang kami boleh lakukan dengan lebih baik.

“Masalah sekarang adalah kami perlu menjaringkan lebih tiga gol dalam setiap perlawanan untuk menang kerana kami sering bolos dua gol.” – Reuters

 

Berita Harian X