Rabu, 23 Oktober 2019 | 8:23am
PAULO Dybala

Dybala penyelamat Juventus

TURIN: Paulo Dybala muncul wira Juventus apabila meledak gol kemenangan untuk mengatasi Lokomotiv Moscow 2-1 dalam pertembungan Kumpulan D Liga Juara-Juara, pagi tadi.

Juara Itali itu ketinggalan di belakang wakil Russia dengan permainan berbaki 13 minit di Stadium Allianz selepas gol Aleksei Miranchuk meletakkan pelawat di depan pada separuh pertama.

Namun Dybala menyamakan kedudukan minit ke-77 dan menambah gol keduanya dua minit kemudian sekali gus memastikan Juventus kekal di tangga teratas Kumpulan D dengan tujuh mata daripada tiga perlawanan.

Anak buah Maurizio Sarri sebelum ini seri menentang Atletico Madrid dan menewaskan Bayer Leverkusen 3-0.

Atletico juga meraih tujuh mata di tangga kedua selepas menewaskan Leverkusen 1-0 di Sepanyol pagi tadi manakala Lokomotiv di tempat ketiga dengan tiga mata.

"Saya sangat gembira, saya memang perlukan dua gol seperti ini,” kata Dybala.

"Perlawanan ini sangat sukar tapi malam ini kamu boleh lihat tahap pengalaman kami. Kami kekal tenang dan akhirnya menemui sasaran.”

Cristiano Ronaldo pula terlepas peluang merakam jaringan untuk rekod melawan 34 pasukan berbeza dalam Liga Juara-Juara.


PAULO Dybala dan Juan Cuadrado pada aksi pertembungan Kumpulan D Liga Juara-Juara, pagi tadi. - Foto AFP

Bintang Portugal itu terlepas peluang biarpun menerima umpanan daripada Juan Cuadrado yang menyaksikan Juventus bergelut untuk menembusi benteng wakil Russia itu.

Lokomotiv tidak menunggu lama untuk mendahului tuan rumah apabila Miranchuk melepasi asakan Leonardo Bonucci sebelum memperdaya penjaga gol Lokomotiv Guilherme.

"Ia perlawanan yang sukar,” kata Miranchuk.

"Kami keletihan di hujung saingan dan hilang tumpuan beberapa ketika. Juve pasukan yang bahaya dan mereka menghukum kelalaian kami.”

Dybala dua kali menemui gawang babak kedua itu sejurus sayap Argentina, Gonzalo Higuain dimasukkan menggantikan Sami Khedira.

Szczesny dalam pada itu menangkis cubaan Joao Mario manakala Higuain dua kali terlepas peluang sebelum ditebus Dybala.

"Kami perlu bekerja lebih keras. Jurulatih ada ideanya sendiri dan kami percaya sepenuhnya dengan dia,” kata Dybala, yang dikeluarkan selepas jaringan keduanya itu sekali gus diberi sambutan meriah penyokong.

"Kami sudah menang dan bermakna kami boleh bermain bersama, jika kami kalah tadi, pendapat semua orang pasti berbeza,” kata Dybala yang bergandingan selesa dengan Ronaldo dan Higuain. – AFP

Berita Harian X